PUTRAJAYA: Hukum bagi suami menjadi suri rumah adalah tidak digalakkan jika tidak diredhai oleh isteri, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berhubung isu suami tidak bekerja dan menjadi suri rumah.
Zulkifli berkata, jika isteri meredainya (suami menjadi suri rumah), maka itu dibenarkan seperti mana diharuskan untuk suami memakan mahar isteri sekiranya dibenarkan.
Menurutnya, tindakan isteri membantu keluarga adalah satu tindakan terpuji dan pengorbanan yang wajib diterima kasih oleh suami.
“Isteri tersebut juga hendaklah bersyukur kerana masih mempunyai suami yang baik sekalipun beliau diuji tanpa pekerjaan. Ini kerana, ada juga terdapat musibah dalam kehidupan berkeluarga apabila suami bukan dalam kalangan yang baik.
“Justeru, hendaklah isteri bersabar dalam situasi seperti ini dan sentiasa berbincang dengan penuh harmoni antara suami isteri,” katanya.
Katanya, matlamat kehidupan adalah mencari mardhatillah (keredhaan Allah) dan kebahagiaan dalam hidup. Sehubungan itu, Zulkifli menasihatkan suami supaya hendaklah sentiasa berusaha dan mencuba untuk mencari pekerjaan dalam menafkahkan isteri serta keluarganya.
“Kehidupan bukanlah sentiasa dalam keadaan tenang tetapi di sana adanya badai yang memerlukan sebuah kebijaksanaan, hikmah, ketenangan dan kecerdikan. Banyakkan berdoa kepada Allah semoga dimurahkan rezeki seperti banyakkan istighfar, qiamullail, sedekah dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Berdasarkan dalil-dalil al-Quran, Zulkifli menjelaskan, adalah wajib bagi suami untuk berusaha sebaik mungkin menafkahkan keluarganya dengan segala upaya tanpa berharap kepada pendapatan isteri,” katanya. – UTUSAN