Teruskan amalan pelitup muka, sanitasi tangan di masjid, surau 

Pihak berkuasa agama negeri disaran terus amalan pelitup muka, sanitasi tangan 

ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kekalkan pemakaian pelitup muka dan sanitasi tangan di masjid dan surau sebagai langkah pencegahan berterusan. 

Itu saranan dikemukakan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung pengumuman SOP baharu aktiviti solat jemaah di masjid dan surau oleh kerajaan hari ini. 

Zulkifli berkata, beliau mahu pihak berkuasa agama negeri terus mengekalkan SOP berkenaan bagi mengawal penularan Covid-19 di masjid dan surau. 

“Kita perlu terus menjadikan masjid dan surau sebagai contoh terbaik pelaksanaan dan pematuhan SOP,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan, aktiviti solat jemaah di masjid dan surau boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini.

Zulkifli berkata, beliau juga pasti pihak berkuasa agama negeri sedang meneliti usul dan pengumuman baharu oleh kerajaan itu.

“Sebagaimana yang telah saya tegaskan ketika masih menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), hukum penjarakan ketika solat berasaskan kepada sebab (‘illah) iaitu wabak Covid-19 yang memuncak sebelum ini dan kadar vaksinasi yang masih rendah.

“Apabila keadaan sebaliknya berlaku, maka wajarlah hukum penjarakan ketika solat disemak semula dan dipertimbangkan untuk dimansuhkan,” katanya.

Katanya, jika diteliti apa yang telah diamalkan di negara-negara dunia dalam kalangan negara umat Islam, usaha merapatkan saf telah pun dijalankan sebagaimana yang dilaksanakan di Arab Saudi baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN