Suami isteri rugi RM57,200 ditipu 'Datuk Reduan'

Suami isteri rugi RM57,200 ditipu ‘Datuk Reduan’

AHMAD ADNAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sepasang suami isteri kerugian RM57,200 selepas diperdaya lelaki menyamar pegawai polis yang mendakwa mangsa terbabit kegiatan pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pesara berusia 61 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenal diri daripada Telekom Malaysia (TM), Khamis lalu.

Katanya, individu terbabit memberitahu mangsa mempunyai tunggakan bil telefon namun dia menafikan perkara itu dan mendakwa mungkin namanya telah disalah guna pihak lain.

“Memandangkan akaun TM itu dibuka di Seremban, panggilan mangsa  disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai anggota polis berpangkat sarjan di Seremban, Negeri Sembilan. 

“Suspek mendakwa mangsa terlibat kes pengubahan wang haram dan memberitahu seorang pegawai polis di Bukit Aman dikenali ‘Datuk Reduan’ boleh membantu menyelesaikan masalah itu,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, ‘Datuk Reduan’ kononnya ingin membantu mangsa dan meminta maklumat akaun lelaki itu untuk pindahan wang ke dalam akaun bagi tujuan semakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, setelah mangsa menyerahkan maklumat perbankannya, mangsa juga telah diminta untuk menyerahkan akaun milik isterinya beserta maklumat perbankan.

“Setelah serahan maklumat perbankan mereka dibuat, individu terbabit telah mengambil alih kawalan ke atas akaun mangsa dan memindahkan wang berjumlah RM22,000 milik mangsa dan wang milik isterinya berjumlah RM35,200 ke akaun pihak ketiga yang belum dikenal pasti.

“Mangsa yang menyedari ditipu, membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan, semalam. Siasatan lanjut kes dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan mendapatkan maklumat lengkap dari BNM berhubung akaun yang pihak sindiket pindahkan dari akaun pasangan suami isteri tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN