MELAKA: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Nabil Najmi Zulkiflee juga penghidap Distrofi Otot Duchenne (DMD), nekad untuk memberikan yang terbaik dalam peperiksaan didudukinya bermula hari ini.
Dia yang mengambil jurusan perakaunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil di sini tiba seawal pukul 6.45 pagi, bagi melakukan persiapan menjawab peperiksaan bertulis kertas pertama Bahasa Melayu.
Anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu, dia tidak pernah menganggap penyakit gangguan saraf otot dialaminya sebagai alasan untuk bermalas-malasan, atau meletakkan sasaran rendah dalam pencapaian kehidupan.
“Saya disahkan menghidap penyakit DMD ini sejak darjah empat dan terpaksa menggunakan kerusi roda selepas otot kaki mula mengecut. Meskipun begitu, saya tidak pernah menganggap cabaran ini sebagai penghalang, malah menjadikan saya lebih nekad untuk berjaya dengan kemampuan diri sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita.
Tambahnya, dia juga telah mengulang kaji dan membuat latihan secara intensif beberapa bulan lalu sebagai persiapan menduduki SPM.
“Insya-Allah dengan usaha, doa ibu bapa dan sokongan insan-insan lain di sekeliling, saya akan buat yang terbaik dalam peperiksaan SPM ini. Saya juga doakan agar segalanya berjalan lancar, bukan untuk saya sahaja tetapi semua calon-calon yang telah berdepan dengan cabaran pembelajaran akibat Covid-19,” tegasnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin dilihat turut hadir ke sekolah tersebut bagi memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada 236 calon SPM.
“Secara keseluruhan 13,314 calon SPM negeri ini mula menduduki kertas pertama mereka hari ini. Daripada jumlah tersebut, 72 calon adalah pelajar berkeperluan khas yang mengalami cacat fizikal dan menduduki peperiksaan SPM 2021 di semua 102 pusat peperiksaan negeri,” katanya.
Jelasnya, jumlah itu mewakili kesemua calon SPM di negeri ini yang didaftarkan menduduki SPM 2021 dan tiada pelajar yang keciciran akibat kuarantin atau positif Covid-19. – UTUSAN