PUTRAJAYA: Bermula 1 April ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memperkenalkan Sistem e-TT (e-Pindahan Telegrafik) dengan pengenalan beberapa kaedah pembayaran cukai baagi para pelanggan agensi tersebut melaksanakan tanggungjawab mereka.
Kaedah-kaedah tersebut adalah Pindahan Telegrafik , Pindahan Dana Elektronik (EFT) dan Pindahan Giro Antara Bank (IBG) dari dalam dan luar negara.
Menurut kenyataan LHDN, ia melibatkan pembayaran pelbagai cukai iaitu cukai pendapatan, cukai petroleum, cukai keuntungan harta tanah (CKHT), bayaran kompaun, cukai penghibur awam (Seniman Kembara) dan cukai pegangan.
“e-TT merupakan sistem yang akan menjana Nombor Akaun Maya (VAN) sebagai identiti pengenalan bayaran. Pembayar cukai yang ingin membuat bayaran cukai menerusi kaedah pindahan telegrafik (TT) dari dalam dan luar negara dikehendaki untuk mengakses Sistem e-TT.
“Ia boleh dicapai dengan melayari portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my, klik Perkhidmatan ezHasil > submenu e-TT, isi maklumat bayaran dengan lengkap untuk menjana nombor VA.
“Nombor VA yang diberikan perlu digunakan sebagai nombor akaun bayaran semasa membuat pembayaran menerusi kaedah pindahan telegrafik di kaunter bank atau menerusi portal perbankan elektronik,” katanya di sini hari ini.
Dengan pengenalan Sistem e-TT, empat jenis bayaran iaitu kompaun, Cukai Penghibur Awam (Seniman Kembara), Cukai Pegangan dan CKHT – Pegangan Cukai tiga peratus oleh Pemeroleh Aset (Seksyen 21B, ACKHT 1976), yang pada masa kini hanya boleh dilbuat di kaunter bayaran agensi berkenaan, juga boleh dibuat menerusi kaedah e-bayaran.
Bayaran cukai menggunakan VA daripada sistem tersebut juga boleh dilakukan melalui portal perbankan internet menerusi IBG atau RENTAS atau pindahan telegrafik atau pindahan wang.
“Selain itu, kaunter bank (IBG atau Rentas atau pindahan telegrafik atau pindahan wang sahaja manakala, bayaran secara tunai dan cek tidak dibenarkan) serta mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Maklumat lanjut pelaksanaan Sistem e-TT boleh melayari portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my manakala, pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh diajukan melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara), HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/maklumbalas/ms-my/. –UTUSAN
Habis