Simpanan pelaburan sasaran penipu

Simpanan pelaburan sasaran penipu

MOHD. Kamarudin Md. Din menunjukkan nombor telefon CCID Scam Response Center dalam sidang akhbar di JSJK Bukit Aman di Menara KPJ Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket penipuan dilihat begitu licik kerana mereka menggunakan taktik ‘menekan’ mangsa secara psikologi kononnya terbabit dalam kesalahan jenayah atau mempunyai masalah kewangan.

Dalam keadaan itu, sindiket mengambil kesempatan menggunakan penyamaran sebagai pegawai-pegawai agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menakut-nakutkan mangsa mereka.

Dengan modus operandi ini, tidak mustahil mangsa sama ada berpelajaran tinggi atau sebaliknya akan terkejut atau panik lalu melayan dan mengikut saja arahan si penipu terbabit.

Mengakui perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, modus operandi digunakan sindiket-sindiket penipuan dalam talian sentiasa berubah-ubah malah sejak kebelakangan ini mereka mula menyasarkan akaun simpanan pelaburan.

Katanya, sindiket penipuan meminta mangsa membuka satu akaun lain di bank sama milik mereka.

“Selepas itu, mereka meminta mangsa-mangsa ini memindahkan wang di dalam akaun simpanan pelaburan yang mereka ada ke dalam akaun terbabit.

“Wang simpanan itu akan segera dipindahkan oleh sindiket dengan meminta mangsa menyerahkan nombor pas pengesahan transaksi (OTP) kepada mereka terlebih dahulu,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, di sini semalam.

Dalam perkembangan berasingan, kata Mohd. Kamarudin, sebanyak 2,399 panggilan diterima CCID Scam Response Center membabitkan jenayah komersial dalam tempoh Februari tahun lalu sehingga kini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,530 panggilan atau 63.4 peratus adalah mengenai pertanyaan berkaitan modus operandi jenayah macau scam, love scam, belian dalam talian, pinjaman tidak wujud, penipuan pelaburan dan ah long.

Ujarnya, sebanyak 869 panggilan lagi adalah berkaitan lain-lain pertanyaan, penyaluran maklumat jenayah dan sebagainya.

“Kajian mendapati sebanyak 1,430 atau 59.6 peratus pemanggil terdiri daripada individu yang menjadi mangsa.

“Selebihnya iaitu 969 pemanggil (40.4 peratus) adalah individu yang tidak menjadi mangsa,” jelasnya.

Justeru itu, Mohd. Kamarudin menjelaskan, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 untuk menyemak atau membuat aduan berkaitan jenayah komersial.

Dalam pada itu, kata Mohd. Kamarudin, JSJK akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lebih pantas dalam menangani jenayah penipuan dalam talian. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN