SEREMBAN: Sikap pengendali taman asuhan kanak-kanak (Taska) yang sambil lewa dalam urusan pendaftaran antara sebab utama 54 Taska di Negeri Sembilan direkodkan tidak berdaftar setakat Januari yang lalu.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Rosnah Sardi berkata, urusan pendaftaran Taska memang akan melibatkan beberapa proses dan perkara tersebut dilihat antara punca pengendali Taska tidak begitu bersungguh-sungguh menyelesaikan pendaftaran mereka.
“JKM sangat jarang menolak pendaftaran kecuali secara jelas pihak pengendali Taska melanggar peraturan ataupun tidak menyediakan keperluan untuk sesuatu pendaftaran itu. Biasanya kami akan berikan masa yang mencukupi kepada mereka bagi penyediaan dokumen termasuk penyediaan premis itu sendiri.
“Memang keperluan urusan pendaftaran Taska ini melibatkan tiga buah agensi teknikal seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), bomba dan Jabatan Kesihatan yang memerlukan lebih usaha daripada pengendali Taska.
“Kemungkinan ia dilihat menyusahkan jadi pengendali Taska ini mengambil mudah perkara tersebut dengan tidak meneruskan proses namun ada di antara mereka tetap menjalankan operasi mereka,” katanya.
Tambah Rosnah, tiada latihan dan kemahiran iaitu melibatkan Kursus Asas Pengasuh juga antara sebab sesebuah Taska itu gagal untuk mendaftar.
“Bagi melibatkan agensi teknikal seperti PBT, kegagalan pendaftaran sesebuah Taska adalah berkaitan isu penyediaan tangga keselamatan kedua dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV),” katanya lagi.
Sementara itu, katanya, daripada keseluruhan 54 buah Taska yang tidak berdaftar di negeri ini, 47 buah adalah di daerah Seremban.
“JKM menyeru para ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka ke Taska supaya memilih Taska yang berdaftar di bawah Akta Taska 1984. Ini kerana pihak JKM dan agensi teknikal yang lain telah membuat pemantauan dan memastikan Taska tersebut selamat dan mematuhi peraturan yang ditetapkan demi kepentingan terbaik anak-anak yang diasuh.
“JKM setiap tahun telah mengadakan Kempen Jom Daftar Taska dan sedia membantu pihak pengusaha Taska untuk berdaftar. Pendaftaran boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah di mana Taska ditubuhkan,” katanya sambil memberitahu sebanyak 158 Taska berdaftar setakat ini di Negeri Sembilan. – UTUSAN