PUTRAJAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh setakat ini disahkan masih lagi selamat daripada serangan dron pemberontak Houthi ke atas ibu kota Arab Saudi itu baru-baru ini.
Utusan Malaysia difahamkan, lokasi serangan itu di Al Misfat, terletak kira-kira 40 kilometer dari canseri Malaysia yang bersebelahan kedutaan Turki dan Maghribi di Diplomatic Quarter.
“Insya-Allah, pejabat diplomatik Malaysia di Jalan Abdallah Ibn Houzafah Al Sahmi adalah selamat sebab tempat serangan itu agak jauh dari pusat bandar,” kata sumber Wisma Putra.
Media antarabangsa melaporkan serangan pada pagi 11 Mac itu menggunakan tiga dron model UAV-X dikenali Samad-3 yang lazim digunakan kumpulan pengganas Houthi di Yaman.
Ia jelas menyasarkan loji penapis petroleum milik kerajaan negara itu, Saudi Aramco namun hanya mengakibatkan kebakaran kecil yang berjaya dikawal dan tiada juga kemalangan jiwa.
Pemberontak tersebut turut melancarkan dua lagi serangan secara serentak dengan enam dron Samad-1 terhadap fasiliti syarikat minyak itu masing-masing di bandar Jizan dan Abha.
Agensi berita rasmi, Saudi Press Agency memetik kenyataan Kementerian Tenaga Arab Saudi mengesahkan serangan berkenaan tidak menjejaskan operasi pemprosesan di semua loji.
Sebelum itu, pada 31 Januari lalu, Houthi melancarkan serangan dron ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) namun berjaya dipintas ketika lawatan rasmi Presiden Israel, Isaac Herzog.
Mengulas lanjut, Wisma Putra menerusi kenyataan berkata, Malaysia mengutuk keras siri serangan pemberontak Syiah itu yang menyasarkan beberapa loji bahan bakar di Arab Saudi.
“Insiden sebegini telah pun mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda dan Malaysia menzahirkan perasaan simpati kepada mereka yang terjejas akibat serangan itu,” tegasnya.
Dalam masa sama, Malaysia menolak sebarang bentuk keganasan serta menyeru komuniti antarabangsa menggerakkan usaha menamatkan ketegangan dan memulihkan keamanan.
Malaysia turut mengulangi pendirian untuk terus menyokong penyelesaian secara damai dan inklusif bagi mengakhiri konflik berdarah di Yaman menerusi proses dialog dan rundingan.
Usaha itu juga meliputi inisiatif Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu ke Yaman, Hans Grunberg untuk mencari solusi di negara miskin yang bergolak tersebut.
Krisis di Yaman bermula pada 2014 lalu apabila Houthi disokong Iran, melancarkan perang saudara dengan menawan ibu kotanya, Sanaa dan membunuh Presiden Ali Abdullah Salleh.
Situasi itu mengakibatkan, Arab Saudi membentuk satu pakatan ketenteraan pelbagai negara Islam bagi mengekang pengaruh Houthi yang merancang meluaskan pengaruh politiknya.
Konflik tersebut menyebabkan lebih 11,000 askar terbunuh selain mengorbankan hampir 92,000 orang awam dan mencetuskan masalah pelarian dan ekonomi yang terburuk di Yaman. – UTUSAN










