calon tua

‘Saya tak kalah dengan anak muda’

TOSRIN JARVANTHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: “Otai masih berbisa”.

Demikian ungkapan sesuai buat calon Perikatan Nasional (PN), Tosrin Jarvanthi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai kerana beliau calon paling tua iaitu 72 tahun bertan­ding pilihan raya negeri ini.

Berkongsi dengan Utusan Malaysia, Tosrin menyedari ba­nyak pihak memandang sinis kepadanya kerana faktor umur itu.

Namun katanya, ia bukan penghalang bagi seseorang itu untuk berbakti dan berkhidmat kepada masyarakat.

Beliau juga penuh yakin dengan slogannya ‘wakil rakyat untuk rakyat’ bagi memikat pengundi, sekali gus sekali lagi mewakili rakyat di DUN Bukit Permai.

“Berdasarkan pengalaman saya selama sepenggal menjadi ADUN Bukit Permai, saya rasa saya tidak kalah dengan mana-mana anak muda dalam saya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

“Dengan apa yang saya lakukan selama ini di DUN Bukit Permai, saya ada keyakinan bahawa pengundi di sini akan sekali lagi memberi kepercayaan kepada saya dan PN untuk memenangi DUN ini, insya-Allah,” katanya ketika ditemui di sini.

Tosrin menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Bukit Permai dengan majoriti 2,531 undi, menewaskan Ali Mazat Salleh daripada Barisan Nasional (BN) dan Abd. Aziz Jaa’far (Pas).

Katanya, gabungan calon muda dan senior bukan sahaja berbaloi dari segi menghasilkan idea yang baik, tetapi juga tenaga untuk memajukan lagi Johor.

“Mungkin saya tidak berpelajaran tinggi, tetapi saya mampu menjalankan tugas dan tanggungjawab mengikut acuan masa pembangunan terkini.

“Maka saya harap jika ada acuan gandingan tenaga muda dan calon tua serta berpengalaman, Johor akan lebih maju dan kami juga cukup yakin bangsa Johor akan memilih PN,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN