PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin perlu mempersoal ketidakhadiran ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof kerana menyebabkan usul lanjutan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), gagal diluluskan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kesalahan tidak patut diletakkan hanya kepada UMNO kerana pemimpin lain mempunyai alasan kukuh mengapa mereka gagal hadir termasuk dirinya sendiri.
“Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) perlu tanya, mana pergi Tan Sri Muhyiddin Yassin? Alor Gajah mana (Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof) mana? Kalau dua orang ini ada, menang dah lah. Jadi salahkanlah Bersatu, kenapa nak salahkan UMNO?
“Dia (Hamzah) kata, ada ahli Parlimen yang tidak suka tengok dia. Kita ni bab peribadi malas nak cerita, kita pun fikir Bersatu bukan sokong UMNO, kita pun baru sahaja lepas berlawan di Pilihan Raya Negeri. Mereka (Bersatu) pun tidak sokong calon Timbalan Speaker dari UMNO, kepala yang tidak menentukan sokongan itu tentulah Hamzah.
“Orang sebaik manusia, wakil dari Cameron Highlands pun mereka tidak mahu sokong, sampai sekarang dia bukan Timbalan Speaker yang tetap. Dia hanya memenuhi ruang kosong sementara dua speaker lagi nak berehat sahaja,” katanya.
Ditanya adakah perkara itu menjadi punca Ahmad ‘membalas dendam’ terhadap Menteri Dalam Negeri itu, beliau menjelaskan yang dirinya mempunyai urusan ketika itu.
“Saya tidak mengundi ketika itu sebab saya fikir tidak ada pengundian. Saya hadir sebelum Hamzah berucap, Timbalan Speaker, Cameron Highlands tanya saya nak bahas atau tidak, saya kata saya tidak berbahas. Saya cakap, Perjanjian Persefahaman (MoU) itu ada, mana ada mengundi.
“Selama ini tidak ada mengundi pun. Jadi, dalam hati saya berkata, memang tidak ada undi ini. Jadi saya keluar untuk urusan perkahwinan anak saya Sabtu dan Ahad lepas.
“Tetapi bila ada undian walaupun ada MoU, pada saya MoU ni tidak terpakai lah, selamat jalan MoU,” ujarnya lagi.
Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO turut mengulas kenyataan Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Wong Hon Wai yang mana terdapat beberapa ahli Parlimen UMNO yang sengaja ponteng kerana tidak mahu menyokong usul berkenaan.
“Tidak ada rancang-rancang nak gagalkan undi pun, saya tidak ada niat nak balas dendam. Saya ada urusan perkahwinan anak saya, Datuk Seri Najib Razak ke mahkamah. Dalam mahkamah macam mana nak undi? Datuk Seri Zahid Hamidi? saya tidak tahu pergerakan beliau ketika itu.
“Kalau memegang pada MoU, kenapa pembangkang tidak mahu buat perundingan? Dia kena ada perundingan antara dua pihak. Pihak mereka (pembangkang) perlu proaktif bertanya. Nampak sangat mereka pun tidak mahu membuat perundingan ini dibuat. Ini maksudnya MoU sudah lagi tidak terpakai, mereka sengaja nak melanggar MoU,” ujarnya.
Dewan Rakyat sebelum ini gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA untuk tempoh lima tahun lagi.
Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 ahli Parlimen menyokong, manakala 86 ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 ahli Parlimen tidak hadir.
Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai ini. – UTUSAN











