ALOR GAJAH: Seorang wanita buntu memikirkan nasib tiga anaknya kerana tidak lagi mampu mengirimkan wang ke Indonesia selepas rumah sewanya di Kampung Padang Kemunting dekat sini, musnah dalam kebakaran, awal bulan lalu.
Nitawati Sulhadi, 35, berkata, kejadian yang berlaku pada waktu tengah hari itu memusnahkan bekalan dan kelengkapan berniaga yang digunakannya untuk mencari rezeki.
Katanya, dia dan suami, Kamal Sandi Bharum, 40, masing-masing warga Indonesia masuk ke Malaysia secara sah dan terpaksa meninggalkan anak-anak di negara asal untuk mencari nafkah di negara ini.
Jelasnya, wang simpanan bersama suami berjumlah hampir RM4,000 di dalam rumah turut hangus.
“Tiada jalan singkat untuk mengumpul wang. Saya dan suami berniaga buah potong, air balang dan bertih jagung secara kecil-kecilan di sekitar Pantai Pengkalan Balak dan kedai-kedai makan.
“Saya keluar rumah pada awal pagi dan pulang pada pukul 12 tengah malam. Selagi ada kedai makan dibuka, selagi itu saya cuba menjual buah potong. Bolehlah dapat RM70 pada hari biasa dan mencecah RM150 pada hujung minggu.
Nasib anak-anak
“Saya reda dengan apa yang berlaku, cuma buntu memikirkan nasib anak-anak kerana tidak dapat mengirim wang seperti biasa. Mujur ramai pihak yang bersimpati termasuk pembekal yang membenarkan saya ambil dulu barang niaga dan bayar kemudian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Nitawati, paling terkilan apabila peti sejuk yang baru dibeli untuk perniagaannya hanya sempat bertahan sehari sebelum musnah dalam kebakaran itu.
Menurutnya, peti sejuk tersebut dibeli secara tunai dengan harga RM850 sebuah.
“Tujuan saya beli adalah untuk menjalankan perniagaan dengan lebih serius. Tidak mengapalah rumah saya tidak ada televisyen dan mesin basuh, asalkan ada peti sejuk untuk menyimpan buah-buahan.
“Tapi malangnya, belum sempat digunakan ia sudah musnah. Saya hanya mampu melihat ia terbakar dari jauh tanpa dapat berbuat apa-apa,” jelasnya. – UTUSAN