Yuran baharu visa H-1B boleh jejaskan perkhidmatan teknologi India - Utusan Malaysia

Yuran baharu visa H-1B boleh jejaskan perkhidmatan teknologi India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan yuran baharu visa pekerja H-1B sebanyak AS$100,000 (RM420,64) dijangka memberi kesan besar kepada syarikat perkhidmatan teknologi India dan ribuan pekerja yang terlibat.

Langkah itu diumumkan Presiden AS, Donald Trump, dalam satu pengisytiharan rasmi yang ditandatangani di Pejabat Oval pada Jumaat.

Trump menyatakan keputusan ini bertujuan memastikan hanya pekerja berkualiti tinggi dibawa masuk ke negara itu.

“Kita perlukan pekerja. Kita perlukan pekerja yang hebat. Dan langkah ini hampir pasti memastikan perkara itu berlaku,” katanya.

Namun, badan industri teknologi maklumat India, Nasscom, menyuarakan kebimbangan perubahan drastik ini bakal menjejaskan warga India yang bekerja di AS di bawah visa H-1B, termasuk mereka yang berkhidmat dengan syarikat multinasional dan firma India.

Menurut Nasscom, syarikat-syarikat mungkin terpaksa menyesuaikan strategi operasi mereka dan bekerjasama rapat dengan pelanggan untuk menguruskan peralihan.

Nasscom turut menyuarakan kerisauan mengenai garis masa pelaksanaan dasar baharu itu, yang menurut mereka terlalu mendadak dan boleh menjejaskan kelangsungan pelbagai projek, khususnya dalam sektor teknologi luar pesisir.

Sementara itu, Kementerian Hal Ehwal Luar India memberi amaran langkah tersebut berpotensi mencetuskan implikasi kemanusiaan, khususnya melibatkan gangguan terhadap kehidupan keluarga pekerja yang terjejas.

“Kerajaan berharap gangguan ini dapat ditangani sewajarnya oleh pihak berkuasa AS,” kata kementerian itu.

Pentadbiran Trump mempertahankan langkah tersebut dengan alasan visa H-1B telah disalahgunakan secara meluas, terutamanya oleh syarikat yang menggantikan tenaga kerja tempatan dengan pekerja asing berkos rendah.

Dalam pengisytiharan rasmi Rumah Putih, ia digambarkan sebagai usaha mengekang “penggantian besar-besaran pekerja Amerika” yang dikatakan melemahkan keselamatan ekonomi dan negara.

Data daripada Pusat Penyelidikan Pew menunjukkan sejak 2010, majoriti visa H-1B diberikan kepada warga India, menjadikan mereka kelompok paling terkesan dengan perubahan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN