Rumah baru dijadikan stor dadah diserbu, dua pengedar ditahan

Rumah baru dijadikan stor dadah diserbu, dua pengedar ditahan

AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) menunjukkan hasil rampasan dadah sewaktu sidang akhbar kejayaan pembongkaran stor simpanan dan pembungkusan dadah jenis ganja dan syabu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - FOTO/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebuah unit pangsapuri tingkat bawah di Klang, Selangor dijadikan pusat penyimpanan dan pembungkusan dadah jenis syabu dan ganja yang baharu beroperasi pada bulan ini diserbu polis.

Stor berkenaan terbongkar susulan penahanan dua lelaki berusia 31 dan 47 tahun yang merupakan pengedar bersama sebuah kenderaan dinaikinya dekat sebuah stesen minyak di Kuala Langat pada 15 Mac lalu.

Penahanan kedua-dua suspek pada waktu tengah hari pada tarikh sama oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu menyebabkan dadah jenis ganja seberat 468.8 kilogram (kg) dan 10kg syabu yang dianggarkan bernilai RM1.53 juta berjaya dirampas.

Pengarahnya, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketika serbuan polis turut menyita pelbagai aset sindiket berkenaan termasuk sebuah kereta dinaiki mereka dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM88,496.

“Jumlah dadah dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 987,000 orang penagih dadah dan pengedarannya adalah untuk pasaran tempatan.

“Saringan awal yang dibuat oleh polis ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC) dan semakan rekod jenayah pula mendapati salah seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah  Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan (KK),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau menambah, kedua-dua suspek terbabit kemudian direman selama tujuh hari bermula 16 Mac bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan kedua-dua suspek berdepan hukuman gantung sampai mati.

Dalam pada itu, Ayob turut menjelaskan ganja jenis gred 2, 3 dan 4 itu dipercayai diperoleh daripada Laos yang diseludup masuk melalui sempadan di utara semenanjung dengan menggunakan taktik penyeludupan beras.

Menurutnya, Laos menjadi sumber bekalan ganja berikutan tiada lagi musim penuaian tanaman dadah itu dibuat pada Mac dan Oktober seperti sebelum ini, sebaliknya sepanjang tahun berdasarkan inovasi kaedah dan kemahiran pertanian.

“Kalau ikut sebelum ini dekat Laos, musim menuai ganja adalah pada Mac dan Oktober, tetapi sejak dua tiga tahun kebelakangan ini tak ada musim lagi, sebaliknya sepanjang tahun. Ada sistem pengairan yang sempurna jadi itu yang kita dapati ganja dapat memasuki Malaysia di sempadan utara semenanjung.

“Sekarang di Laos, sepanjang tahun aktiviti menuai ini dijalankan, sebab itu kita lihat banyak kebelakangan ini rampasan dibuat oleh JSJN di sempadan utara negara melibatkan dadah jenis ganja,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN