Rokok, mercun tidak bercukai bernilai RM151,345 dirampas - Utusan Malaysia

Rokok, mercun tidak bercukai bernilai RM151,345 dirampas

URM Pulau Pinang menahan seorang pekedai runcit warga tempatan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai dan mercun di sekitar Batu Kurau, Kerian, Perak, Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Unit Risikan Marin (URM) Pulau Pinang menahan seorang pekedai runcit warga tempatan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai dan mercun di sekitar kawasan Batu Kurau, Kerian, Perak, Rabu lalu.

Dalam operasi Op Kontraband itu, URM Pulau Pinang turut merampas rokok dan mercun tidak bercukai bernilai RM151,345.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, Op Kontraband itu dijalankan pukul 6 petang hingga 7 malam di dua buah rumah di Kampung Pantai Besar, Batu Kurau.

“Menerusi serbuan pertama di rumah suspek, kita berjaya merampas hampir 77,450 batang rokok tidak bercukai. Hasil soal siasat di tempat kejadian membawa kepada lokasi kedua di mana 24,650 batang rokok tidak bercukai dan mercun ditemukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, secara keseluruhan pihaknya merampas sebanyak 102,100 batang rokok tidak bercukai dengan nilai rampasan sebanyak RM 145,479 berserta 180 kotak mercun pelbagai jenis dengan nilai rampasan sebanyak RM 5,866.

“Suspek dipercayai mulai aktif dalam aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai sejak enam bulan lalu. Suspek juga dipercayai menjadi pengedar kepada kedai-kedai runcit di kawasan berdekatan,” katanya.

Tambahnya, semakan mendapati suspek warga tempatan berusia 50 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah(IPD) Kerian untuk tindakan lanjut dan siasatan ke atas suspek dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya