Ramadan: Polis sertai penduduk imarahkan masjid, surau di Kelantan

Ramadan: Polis sertai penduduk imarahkan masjid, surau di Kelantan

SHAFIEN Mamat memakaikan pingat Jasa Pahlawan Negara kepada seorang penerima di IPD Pasir Mas hari ini. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Polis akan menugaskan anggotanya mengimarahkan masjid dan surau terpilih di negeri ini sepanjang Ramadan sambil memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan jemaah.

Ketua Polis Negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya sudah sedia maklum dengan kelonggaran untuk menganjurkan program keagamaan dan solat berjemaah apabila negara beralih kepada Fasa Endemik.

Katanya, walaupun solat jemaah dibenarkan tanpa jarak mulai 1 April ini, itu bukan bermakna SOP lain bagi mencegah penularan Covid-19 seperti pemakaian pelitup muka boleh diabaikan oleh orang ramai.

“Sebab itu kita telah mengarahkan Ketua Polis Daerah, ketua-ketua balai dan anggota untuk bersama-sama masyarakat dalam mengimarahkan masjid pada Ramadan kali ini supaya dapat pantau situasi semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Istiadat Pemakaian Pingat Jasa Pahlawan Negara Peringkat Kontinjen Kelantan kepada 280 penerima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini hari ini.

Shafien turut menambah, sepanjang Ramadan ini, pemantauan pihaknya turut difokuskan di kawasan awam termasuk kaki lima dan lokasi rekreasi bagi memastikan orang ramai tidak bersesak-sesak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN