MUAR: Suasana di sebuah pusat mengundi di daerah ini cemas apabila salah seorang pengundi rebah sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi tadi itu ia membabitkan mangsa berusia 78 tahun.
“Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri di tempat kejadian sebelum disahkan kematiannya oleh pegawai perubatan.
“Setakat ini pihak polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mangsa telah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaharudin berkata, pihak polis sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa. – UTUSAN