peluang lebih baik

PRN Johor: Peluang PN lebih baik berbanding di Melaka

SAIFUDDIN Abdullah (tengah) diiringi Datuk Bandar MBJB, Datuk Noorazam Osman ketika menghadiri taklimat Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri di MBJB. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang melakar rekod yang lebih baik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbanding pencapaian mereka ketika bertanding pada PRN Melaka, November lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, keyakinan itu kerana terdapat persediaan jentera yang jauh lebih tersusun dalam PRN kali ini.

Sehubungan itu pihaknya berharap permulaan yang baik akan menghasilkan keputusan yang juga baik buat mereka.

“Pada permulaan PRN Johor ini, saya dapati jentera PN berada dalam keadaan jauh lebih baik, lebih kemas dan tersusun serta lebih bersedia berbanding ketika permulaan PRN Melaka lalu.

“Setiap PN negeri sudah ditugaskan membantu di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, bilik gerakan setiap DUN juga sudah beroperasi, ini berbeza dengan Melaka yang saya akui memang bermula dengan perlahan.

“Semua pihak yang bertanding pasti merasakan mereka mempunyai peluang untuk menang, kita juga ada peluang baik untuk menang sejumlah kerusi DUN,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini hari ini.

Tambah Saifuddin, pihaknya bagaimanapun mengingatkan semua parti yang bertanding agar berpolitik secara berhemah dan terhormat dengan tidak melibatkan diri dalam kaedah mencaci, mengutuk dan pembunuhan karakter.

“Setakat ini saya nampak kempen masih berjalan dengan sederhana, tiada tindakan agresif dan kutuk mengutuk, kami juga telah menasihatkan calon dan penceramah agar tidak mengaibkan mana-mana pihak.

“Apatah lagi kita berkempen sesama kawan (PN dan Barisan Nasional), boleh kata semua menteri Kabinet turun berkempen termasuk saya, kita semua kawan, jadi berhemah jangan kutuk mengutuk sebalik promosi parti dan dasar masing-masing,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN