Polis tahan empat suspek kes kanak-kanak hilang - Utusan Malaysia

Polis tahan empat suspek kes kanak-kanak hilang

ERIC Chang Wei Jie yang dilaporkan hilang pada 7 Mac lalu di rumahnya di Taman Riverview, Bintawa, dan sehingga kini masih belum ditemukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Polis menahan empat individu warga tempatan, masing-masing dua lelaki dan dua wanita berhubung kes seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, Eric Chang Wei Jie yang dilaporkan hilang dari rumahnya di sebuah taman perumahan di Jalan Daya, Bintawa di sini, pada 7 Mac lalu, kira-kira pukul 7.42 petang.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, individu yang ditahan itu dalam lingkungan usia 24 hingga 49 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, hasil semakan rekod lampau, kesemua suspek mempunyai 17 rekod jenayah, iaitu 14 kesalahan jenayah dadah, dua jenayah harta benda dan satu jenayah komersial.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing turut mendapati kesemua suspek positif dadah jenis syabu.

“Kesemua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching untuk mendapatkan perintah tahanan reman dan soal siasat lanjut,” katanya.

Polis sebelum ini menubuhkan satu pasukan khas bagi memperluaskan usaha mencari kanak-kanak yang dilaporkan hilang itu.

Polis juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kanak-kanak yang hilang itu untuk tampil memberi kerjasama di balai-balai polis berhampiran atau terus menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Hasmah Abdul Jalil di talian 013-6852210.

Menurut Ahsmon, pihak polis membuka dua kertas siasatan, iaitu satu kertas siasatan orang hilang dan satu lagi kertas siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, iaitu siasatan terhadap aspek kecuaian dan pengabaian terhadap penjaga kanak-kanak terbabit.

Sebelum ini Ahsmon dalam kenyataan akhbarnya berhubung kes tersebut berkata, anggaran ketinggian kanak-kanak tersebut lebih kurang 100 sentimeter dengan bentuk badan yang kurus, berkulit kuning langsat dan berambut pendek lurus.

Pakaian terakhir dikenakannya sebelum hilang ialah baju T berkolar dan berwarna biru gelap, berseluar pendek paras lutut berwarna hitam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya