PETALING JAYA: Kegiatan sindiket menjual mercun yang menyimpan bahan terlarang tersebut di rumah persendirian dan kawasan perindustrian terbongkar selepas diserbu polis di dua lokasi di Kepong di sini, pada Rabu lalu.
Dalam serbuan itu, sebanyak 1,059 kotak mercun dan 35 guni berisi mercun dianggarkan bernilai RM4.17 juta selain wang tunai berjumlah RM12,900 dan enam telefon bimbit pelbagai jenama.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan kira-kira 2.30 petang itu dijalankan oleh Pasukan Gerakan Khas (PGK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman bersama Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Menurut beliau, seramai lima lelaki berusia 21 hingga 51 tahun turut ditahan.
“Siasatan awal mendapati kegiatan penyimpanan di kawasan perindustrian dan rumah teres dua tingkat dilakukan sejak dua tahun lalu.
“Modus operandi mereka adalah menyeludup masuk mercun melalui laluan laut di Pelabuhan Klang, Selangor sebelum disimpan di dua premis berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Eng Lai berkata, semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau manakala tiga lagi suspek tiada rekod lampau.
Jelasnya, kesemua tangkapan direman tujuh hari sehingga 29 Mac ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Mercun dan bunga api tersebut disasarkan untuk pasaran Lembah Klang sempena perayaan Aidilfitri dan bekalan dipercayai dibeli dari China,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan pengedaran dan penjualan mercun secara haram menyalurkan kepada polis melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/85 atau Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206. – UTUSAN