KOTA BHARU: Polis menempatkan anggotanya di semua bazar Ramadan di seluruh negeri ini bagi melakukan pemantauan dan mengelak kesesakan di lokasi tersebut.
Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, pemantauan itu juga bagi memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka serta penjarakan fizikal.
“Dalam kita semua umat Islam menyambut Ramadan, adalah penting bagi peniaga dan pengunjung untuk terus mengikut ketetapan SOP walaupun negara akan beralih ke fasa endemik pada April ini.
“Apa yang penting kita tidak mahu kes Covid-19 ini terus meningkat sepanjang Ramadan atau bulan-bulan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Kubang Kerian, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pembangunan Kerjaya) Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Nurulhuda Mohd. Salleh dan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.
Mengulas lanjut Shafien berkata, bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan, pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak pengurusan bazar Ramadan. – UTUSAN