Polis kesan warga Nigeria bergaduh di Gajah Berang - Utusan Malaysia

Polis kesan warga Nigeria bergaduh di Gajah Berang

ANGGOTA forensik polis melakukan pemeriksaan di lokasi pergaduhan melibatkan warga Nigeria di sebuah pangsapuri di Gajah Berang, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Suspek warga Nigeria yang menghilangkan diri selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah pangsapuri di Gajah Berang di sini, dikesan tampil ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, suspek dilaporkan mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan dipercayai akibat tetakan senjata tajam.

Katanya, polis juga mengesan dua lagi rakan senegaranya yang terlibat dalam amukan itu dengan salah seorang diberkas di Bandar Melaka kira-kira pukul 11 malam tadi.

“Semakan di hospital kita berjaya mengesan suspek berusia 33 tahun yang mendapatkan rawatan selepas cedera di paha dan badan dalam pergaduhan melibatkan senjata tajam di pangsapuri berkenaan, semalam.

“Seorang suspek berusia 43 tahun diberkas malam tadi, manakala seorang lagi dalam lingkungan usia 30-an dipercayai masih bebas,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, hasil soal siasat pergaduhan itu didakwa berpunca daripada masalah hutang berjumlah RM2,000.

Katanya, suspek yang sedang dirawat akan ditahan sebaik sahaja selesai menjalani rawatan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 200 penduduk di sebuah pangsapuri berdepan detik cemas apabila dua lelaki warga Afrika bergaduh menggunakan kapak dan parang, sehingga menyebabkan kecederaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, kedua-dua suspek bagaimanapun didakwa menghilangkan diri selepas kejadian.

Seorang saksi yang juga penjaga parkir berusia 41 mendakwa, dia melihat dua suspek turun dari tingkat dua pangsapuri dalam keadaan berlumuran darah dengan masing-masing membawa kapak dan parang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN