MERSING: Polis sedang mengesan seorang suspek yang disyaki membakar sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik Agro Bank di Jalan Ismail, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edrward Nuing berkata, pihak polis menerima laporan kejadian kebakaran itu kira-kira pukul 9.15 malam.
“Susulan itu pihak polis dan bomba ke tempat kejadian untuk memadam api dan melakukan siasatan. Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada pukul 7 malam di mana suspek seorang lelaki dilihat masuk ke dalam bilik ATM dan menyalakan api di mesin ATM tersebut.
“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Pihak polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat menyalurkan kepada kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes diklasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing dan Endau dihantar ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Hussine berkata, kebakaran tidak melibatkan struktur dan bertindak membuat pemadaman sehingga api padam sepenuhnya.
Tambahnya, kebakaran juga tidak melibatkan mangsa dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN