JOHOR BAHRU: PKR telah melakukan persediaan untuk membawa pulang seramai mungkin pengundi luar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, perkara itu penting untuk dilaksanakan kerana pengundi luar memainkan peranan besar dalam meningkatkan peluang kemenangan Pakatan Harapan (PH).
“Kita ada perancangan untuk bawa pulang seramai mungkin pengundi yang menetap di luar Johor. Saya sendiri sudah berhubung dengan sebilangan besar daripada mereka khususnya orang-orang Johor yang kini menetap di Selangor dan Terengganu.
“Usaha ini bagaimanapun perlu kerjasama daripada semua parti politik dalam blok pembangkang untuk menjayakannya,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Tambahnya, usaha itu penting kerana antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan PH dalam pilihan raya umum (PRU) lalu adalah kehadiran pengundi luar, selain daripada pengundi atas pagar.
“Pengundi yang menetap dalam negeri sudah tentu merupakan penyokong parti kerajaan mahukan pembangkang, tetapi sejumlah besar daripadanya masih merupakan pengundi atas pagar, golongan ini juga sedang didekati PH dan PKR,” ujarnya.
Dalam masa sama, Syed Ibrahim turut berharap pengundi yang berada di Singapura akan dapat pulang ke tanah air bagi menunaikan tanggungjawab mereka, Sabtu ini.
“Saya sedar jika mereka mahu pulang mengundi mereka perlu membayar sejumlah wang untuk pulang, tetapi mereka juga perlu tahu PRN ini hanya sekali dalam tempoh lima tahun.
“Jadi masih ada masa untuk mereka berbuat demikian dan pulang ke Johor, jadi saya berharap mereka dapat beri komitmen agar kita dapat memperolehi semula mandat rakyat seperti dalam PRU lalu,” jelasnya.
Dijangkakan kira-kira 7,000 pengundi atau 0.04 peratus daripada seramai 200,000 rakyat Malaysia di Singapura telah berdaftar untuk mengundi pada PRN Johor ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, jika Barisan Nasional (BN) menang dalam PRN ini, mereka dijangka berusaha untuk membubarkan Parlimen dalam waktu terdekat.
“UMNO akan mengadakan perhimpunan agung mereka pada 17 Mac ini, hanya beberapa hari selepas tarikh PRN Johor. Sekiranya menang, pastinya mereka akan gunakan ini sebagai batu loncatan untuk menekan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) membubarkan Parlimen dan memberi laluan kepada PRU,” jelasnya. – UTUSAN









