Pilu teringat kata-kata anak sebelum ditemukan lemas dalam parit

Pilu teringat kata-kata anak sebelum ditemukan lemas dalam parit

NAQIL Azka Muhammad Isa, kanak-kanak lelaki enam tahun yang ditemukan mati lemas dalam parit di Sungai Burung, Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak, petang semalam. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: “Bila abang dah besar nanti, abang mahukan rumah besar.”

Itu antara kata-kata terakhir seorang kanak-kanak lelaki, Naqil Azka Muhammad Isa, 6, kepada bapanya sebelum dia ditemukan mati lemas dalam parit di hadapan rumahnya ketika memancing di Sungai Burung, Tanjung Piandang dekat sini petang semalam.

Bapa kanak-kanak itu, Muhammad Isa Saman, 33, berkata, dia masih terkenang kata-kata anaknya itu sebelum dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu.

Katanya, ketika kejadian dia sedang bekerja di Pulau Pinang.

“Adik ipar menghubungi dan memberitahu saya tentang kejadian yang menimpa anak saya. Adik ipar beritahu anak saya ditemukan terapung dalam parit bersama peralatan memancing di hadapan rumah,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurut Muhammad Isa, Naqil Azka merupakan anak sulung daripada dua beradik memang minat memancing ikan puyu dan sering memancing pada sebelah pagi dan petang.

Katanya, anaknya itu seorang yang periang, peramah dengan sesiapa sahaja serta taat pada ibu bapa dan membahasakan dirinya dengan panggilan ‘abang’ dalam keluarga.

“Saya masih terdengar kata-katanya…’bila abang dah besar nanti, abang mahukan rumah besar’. Apabila teringat kata-kata itu, saya rasa sangat sedih namun kami sekeluarga reda atas ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 3.15 petang

Menurutnya, mayat mangsa dibawa  ke Hospital Parit Buntar dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa maut akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN