Pil kuda Pantai Timur dibekal ke  Melaka - Utusan Malaysia

Pil kuda Pantai Timur dibekal ke  Melaka

SUSPEK (kiri) diberkas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam, Melaka bersama pil kuda dan syabu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pengedar pil kuda tidak sempat mengaut untung RM50,000 selepas diberkas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini Rabu lalu. 

Suspek beranak dua berusia 33 tahun ditahan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka kira-kira pukul 6.30 petang. 

Ketua JSJN negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, hasil maklumat awam, serbuan dilakukan dan pemeriksaan di premis menjumpai pil kuda sebanyak 1,670 biji serta dadah jenis syabu seberat 894.54 gram. 

“Pasukan JSJN negeri telah menahan seorang lelaki dipercayai ‘tokan’ pil kuda dan syabu yang aktif mengedar dadah di kawasan Taman Merdeka serta Batu Berendam sejak dua bulan lalu. 

“Suspek berasal dari Kelantan bekerja di sebuah kilang di sini dan dipercayai membawa masuk bekalan dari Pantai Timur itu untuk mengaut keuntungan mudah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi suspek adalah dengan mengambil pesanan melalui telefon bimbit dan menghantar bekalan dengan menunggang motosikal. 

“Kita menjumpai 101 gram syabu dalam poket seluar suspek dan pil kuda di dalam beg silang dipakainya. 

“Kita percaya suspek mengedar dadah ini sendiri kepada pelanggan dan hasil keuntungan bersih jualan kesemua dadah dirampas boleh mencecah RM50,000,” jelasnya. 

Tambahnya, ujian saringan air kencing suspek bagaimanapun negatif dan kini ditahan selama tujuh hari bagi membantu siasatan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya