PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyediakan peruntukan khas berjumlah RM3,776,350 untuk membantu ribuan mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.
Menterinya, Datuk Idris Ahmad berkata, ia termasuk sumbangan terbesar sebanyak RM2.6 juta yang diperuntukkan daripada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Tidak ketinggalan lima lagi agensi iaitu Yayasan Taqwa sejumlah RM350,000, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) RM310,000 dan Lembaga Tabung Haji (RM300,000), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) sebanyak RM165,350 dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebanyak RM51,000.
“Insya-Allah saya akan memastikan semua peruntukan diumumkan ini sampai kepada semua penerima tanpa kira kaum, agama dan latar belakang di dua negeri berkenaan,” jelasnya sebelum melepaskan Misi Bantuan Banjir Skuad Musaadah Keluarga Malaysia agensi jabatan itu ke Pantai Timur di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, skuad pertama misi berkenaan sudah digerakkan ketika awal banjir melanda melibatkan Yapeim dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan mengagihkan bantuan berupa makanan yang disokong Sekretariat Dakwah Korporat Jakim dengan kerjasama strategik sektor swasta.
Bahkan untuk misi susulan pada hari ini, Idris bersyukur apabila syarikat telekomunikasi terkenal Celcom Sdn. Bhd. menyumbangkan bantuan barangan keperluan bernilai RM18,000. – UTUSAN