WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi gambaran satu perjanjian berkaitan Gaza mungkin akan tercapai tidak lama lagi bagi membebaskan semua tebusan yang ditahan oleh Hamas, selepas beliau sebelum ini mengeluarkan amaran terakhir buat kumpulan pejuang itu.
“Kami berusaha mencari satu penyelesaian yang mungkin sangat baik. Anda akan mendengarnya tidak lama lagi. Kami cuba untuk menamatkannya, dan membawa pulang semua tebusan,” kata Trump.
Sebelum itu, beliau memberi amaran kepada Hamas supaya menerima terma perjanjian tanpa memberikan sebarang perincian.
Hamas kemudiannya menyatakan mereka telah menerima beberapa cadangan daripada AS melalui perantara untuk mencapai perjanjian gencatan senjata di Gaza dan membincangkan cara untuk mengembangkan idea-idea tersebut.
Dalam kenyataan Hamas, mereka turut mengulangi kesediaan untuk berunding bagi membebaskan semua tebusan sebagai pertukaran kepada “pengumuman jelas mengenai penamatan perang” serta pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari kawasan Gaza.
Pada hari Sabtu, saluran berita N12 Israel melaporkan Trump telah mengemukakan satu cadangan gencatan senjata baharu kepada Hamas.
Di bawah perjanjian itu, Hamas akan membebaskan kesemua 48 tebusan yang masih hidup pada hari pertama gencatan senjata sebagai pertukaran kepada ribuan tahanan Palestin di penjara Israel serta berunding untuk menamatkan perang semasa tempoh gencatan itu, menurut laporan N12.
Seorang pegawai Israel berkata bahawa Israel sedang “menimbangkan secara serius” cadangan Trump itu tetapi tidak memberikan sebarang penjelasan lanjut.










