Perselisihan faham punca lelaki langgar rakan sehingga maut

Perselisihan faham punca lelaki langgar rakan sehingga maut

BEH ENG LAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gara-gara perselisihan faham ketika mabuk dipercayai menjadi punca seorang peladang maut selepas dilanggar kereta dipandu rakannya dalam kejadian di Jalan Rimbunan Raya 1, Kepong, dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu dibuat isteri mangsa yang memaklumkan suaminya berusia 48 tahun meninggal dunia di hadapan sebuah bank di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati mangsa dipercayai telah bertengkar mulut dengan dua lelaki yang juga rakannya ketika minum di sebuah kedai di Metro Prima Kepong pukul 12.30 tengah malam hari sama.

Kata beliau, selepas pertengkaran itu dileraikan, mangsa beredar dengan rakan wanitanya menaiki kenderaan utiliti sukan Honda HRV milik lelaki berkenaan.

“Mangsa kemudian menyedari kenderaannya diekori sebuah SUV Kia Sportage menyebabkan dia memberhentikan kenderaan di tepi jalan.

“Sebaik mangsa keluar dari kenderaannya, suspek bertindak melanggar mangsa sehingga dia terjatuh sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, kata beliau, mangsa telah dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia pukul 4.40 petang. 

“Hasil bedah siasat dilakukan mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan di kepala,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata beliau, bertindak mengikut laporan dibuat, pihaknya melakukan tiga serbuan, semalam di Kepong dan Rawang, Selangor yang membawa kepada penahanan dua lelaki serta seorang wanita berusia antara 32 hingga 44 tahun.

“Dalam serbuan itu juga, kami merampas dua kenderaan iaitu Honda HRV milik mangsa dan Kia Sportage yang dipandu suspek utama yang juga pembekal makanan laut berusia 38 tahun ketika kejadian.

“Dengan penahanan tiga suspek terbabit, kami berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya.

Kata Eng Lai, semakan dilakukan mendapati dua suspek lelaki mempunyai rekod jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod.

“Semua suspek terbabit direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 22 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 untuk membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN