MUAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah tidak akan menggambarkan kehendak sebenar rakyat Johor.
Beliau ketika ditemui selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar, di sini pagi tadi menyasarkan peratusan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mencecah sehingga 80 peratus.
“Semalam dikatakan Muar ini sesak, mungkin ramai daripada luar sudah pun balik untuk mengundi pagi ini dan bagi saya ini adalah satu perkara yang amat penting.
“Ini kerana kalau peratusan jumlah pengundi agak rendah, ia tidak akan mencerminkan hakikat realiti kehendak rakyat Johor yang saya percaya mahukan perubahan dan sebuah kerajaan yang baharu,” katanya.
Peratusan keluar mengundi setakat pukul 12 tengah hari ini masih rendah apabila hanya mencatatkan 29 peratus daripada 2.53 juta pengundi biasa yang layak.
Sementara itu, melihat trend sambutan yang menggalakkan sepanjang tempoh berkempen, Muhyiddin meletakkan keyakinan penuh dengan sokongan pengundi terhadap Perikatan Nasional (PN).
“Daripada tinjauan saya sejak beberapa hari turun ke seluruh Johor ini saya lihat trend perkembangan yang agak menggalakkan dan sambutan pada gerakan kempen yang saya pimpin nampak boleh dikatakan cukup bersemangat dan jelas (pengundi) ada minat besar kepada PN.
“Apa pun hari ini mereka yang akan menentukan apa mereka nak buat (keputusan), kita hormati dan cuma harapan saya jumlah pengundi akan keluar adalah 70 hingga 80 peratus,” katanya. – UTUSAN