“Hanya orang gila sahaja sukakan perang! Kami di Aceh berperang hampir 30 tahun dan perang itu menelan korban puluhan ribu nyawa. Bila Allah tunjuk kuasanya cuma 30 minit sahaja dalam tsunami, korbannya mencecah ratusan ribu jiwa.”
Dialog di atas saya petik daripada sebuah dokumentari pasca Tsunami Aceh beberapa tahun dahulu. Dalam dokumentari itu seorang bekas Komandan Perang Gerakan Aceh Merdeka (GAM) menyatakan hikmah di sebalik peristiwa tsunami Aceh.
Satu jentikan Tsunami langsung mengakhiri perang yang sudah berlanjutan selama hampir 30 tahun. Inilah sebabnya umat Islam perlu melihat semua perkara dengan pandangan hikmah.
Ini seiring firman Allah yang bermaksud: Dan boleh jadi kamu benci sesuatu sedangkan ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu suka sesuatu sedangkan ia buruk untuk kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 216)
Gegaran perang terkini antara Rusia dan Ukraine tidak sampai kesannya ke Malaysia kerana jaraknya yang sangat jauh.
Namun sebagai sebuah negara merdeka yang aman sejahtera, rakyat Malaysia perlu berusaha sedaya mungkin untuk mengawal diri agar tidak menjadi pencetus perang.
Sebagai Muslim kita perlu tahu Islam memandang perang dalam sudut pandang yang adil dan saksama. Tidak boleh kita tolak sama sekali fungsi perang kerana ia dijadikan Allah sebagai suatu cara mengekang nafsu jahat manusia.
Ia sebagaimana kisah perang yang melibatkan kejatuhan raja Jalut di tangan Nabi Daud a.s yang dirakamkan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Oleh sebab itu, mereka (tentera bani Isra’il yang diketuai raja Talut) dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam perang itu) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendaki-Nya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam. (al-Baqarah:251).
ELAK MUSUH
Perkara sama ditegaskan Rasulullah SAW ketika menunggu ketibaan musuh dalam sebuah perang.
Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Wahai sekalian manusia jangan sesekali harap agar bertembung dengan musuh, sebaliknya pohonlah kesejahteraan daripada Allah. Apabila kamu (terpaksa) bertemu dengan musuh maka sabarlah dan ketahuilah bahawa syurga itu berada di bawah naungan pedang. (Sahih al-Bukhari, 2744).
Selain itu, Islam juga menetapkan antara fungsi perang adalah untuk membela pihak tertindas yang hilang pembelaan.
Ini ditegaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Mekah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). (al-Nisa’: 75)
Pun begitu, tak boleh dinafikan antara sisi gelap sesetengah manusia adalah sikap rakus dan gilakan kuasa.
Demi menghalalkan nafsu kebulur kuasanya itu, mereka sanggup mencipta sebab pencetus perang walaupun terpaksa menelan korban rakyat jelata yang tidak bersalah.
Pemimpin sebegini perlu disedarkan dengan kisah kebijaksanaan Ratu Saba’ ketika mencapai kata putus dalam mesyuarat negaranya tentang cara terbaik berurusan dengan Nabi Sulaiman a.s.
Ini dirakamkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Ratu (Saba’ yang dikatakan bernama Balqis) itu berkata: “Wahai ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya”. Mereka menjawab: Kita adalah orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan. Raja perempuan itu berkata: “Sesungguhnya para Raja apabila masuk ke sesebuah negeri, mereka merosakkannya dan mereka jadikan penduduknya yang mulia hina-dina, dan itulah cara mereka lakukan. (al-Naml: 32-34)
Para pemimpin yang galak melancarkan perang pasti berfikir 10 kali jika barisan tentera yang dikerah ke medan juang untuk dihujani taburan peluru itu terdiri daripada keluarga terdekat mereka seperti anak, isteri, cucu, cicit, ibu ayah dan sebagainya.
Selain itu si rakus penyebab kematian kerana api perang itu akan turut diterima masuk ‘kelab’ Qabil si anak Adam yang malang.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Mana-mana jiwa yang dibunuh secara zalim, maka dosa penumpahan darah itu akan tertanggung ke atas anak Adam yang pertama kerana dia adalah orang pertama yang memulakan jenayah membunuh. (Sahih al-Bukhari, 3088).
Anak Adam ini (yang dikatakan bernama Qabil) menerima nasib kongsi-dosa itu kerana telah mencetus sesuatu yang berat dalam sejarah manusia iaitu mencabut nyawa yang tiada teknologi mampu mencipta-gantinya.
Duhai pemimpin, sebelum bertindak memukul gendang perang, gerunkan amaran Nabi SAW ini: Sesungguhnya seorang hamba (manusia) boleh sahaja bercakap sesuatu perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, lalu (perkara itu) akan menjerumuskannya semakin dalam ke dalam negara sejauh antara timur dan barat. (Sahih Muslim, 5303).
Kepada rakyat jelata pula, kawal diri anda agar tidak menjadi panglima perang di hadapan papan kekunci komputer atau skrin telefon pintar menyebar dan mencatus bencana.
Ini kerana apabila perang tercetus dek tindakan anda, nyawa yang akan jadi korbannya. Jadikan kes perang terbaharu antara negara berjiran di benua Eropah itu sebagai ‘guru’ kita. Guru yang bernama rakus, tamak dan bodoh.
————–
Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al Hafiz) ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










