Peralihan monsun: Sedia hadapi kemungkinan banjir kilat

Peralihan monsun: Sedia hadapi kemungkinan banjir kilat

PERALIHAN monsun bermula semalam sehingga pertengahan Mei ini boleh menyebabkan banjir kilat terutama di kawasan rendah seperti yang berlaku di pusat bandar Kuala Lumpur, minggu lalu. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menasihatkan orang ramai terutama yang tinggal di kawasan rendah supaya peka, berwaspada dan bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kilat ekoran peralihan monsun yang bermula semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Md. Nasir Md. Noh berkata, fasa itu berterusan sehingga pertengahan Mei ini menyebabkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.

Katanya, situasi itu boleh meningkatkan kejadian banjir kilat dan sangat bergantung kepada keupayaan sungai, sistem saliran, kolam takungan, pintu air, rumah pam, pam mudah alih dan lain-lain infrastruktur banjir sedia ada.

“Orang ramai terutama penduduk yang berada di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihatkan sentiasa peka, berwaspada dan bersiap sedia.

“Orang ramai juga diingatkan tidak membuang sampah merata-rata dan menjaga persekitaran supaya aliran sungai tidak terhalang,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai persiapan, Md. Nasir berkata, JPS sentiasa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan semua infrastruktur berkenaan secara berkala supaya berfungsi dengan baik termasuk ban dan tebing sungai yang dipantau rapi untuk memastikan tindakan serta-merta dilaksanakan apabila berlakunya kejadian ban pecah atau tebing runtuh.

“JPS turut melaksanakan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) bagi meramal dan mengeluarkan amaran banjir untuk membantu pasukan penyelamat dan orang ramai bersiap menghadapi banjir yang kini telah beroperasi penuh di Kelantan, Terengganu serta Pahang,” katanya.

Kenyataan itu selari dengan penjelasan oleh Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah minggu lalu yang menyatakan Malaysia dijangka mengalami fasa peralihan monsun hingga pertengahan Mei ini, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut sejak 3 November 2021.

Katanya, semasa fasa itu, rantau negara menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa yang singkat di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

Maklumat lanjut mengenai hebahan amaran banjir, status aras air sungai dan kelebatan hujan di seluruh Malaysia boleh dilayari melalui laman sesawang Public Infobanjir iaitu https://publicinfobanjir.water.gov.my atau memuat turun aplikasi mobile apps, MyPublicInfoBanjir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN