PARIT: Menyambut baik keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma mengekalkan 31 acara dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Perak meletakkan sasaran untuk memburu 50 pingat emas pada edisi ke-20 temasya yang bakal diadakan di Kuala Lumpur dari 29 September hingga 8 Oktober depan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamad berkata, sememangnya konsisten dalam memperjuangkan penganjuran 31 acara kerana mengambil kira kebajikan atlet yang sudah membuat persiapan sejak 2018 dan sekiranya dikurangkan ia bakal memberi kesan kepada mereka.
“Perak konsisten memperjuangkan pelaksanaan 31 acara sepertimana yang dijadualkan pada peringkat awal temasya Sukma Johor kerana kita nak pastikan atlet-atlet yang sudah buat persiapan daripada 2018 untuk mendapat ruang yang sebaiknya.
“Saya rasa ini satu kemenangan besar buat Perak khususnya dan beberapa buah negeri yang menyokong 31 acara ini,” katanya ketika ditemui pada Pertandingan Boling Tenpin Para, Negeri Perak 2022, di Ampang Superbowl, Seri Iskandar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai sasaran emas bagi Sukma 2022, Khairul Shahril berkata, sasaran berkenaan diletakkan berdasarkan prestasi terbaik Perak sebelum ini memenangi 39 emas pada temasya Sukma 2018.
“Kita sasarkan akan memperbaiki pencapaian terbaik kita dahulu iaitu 39 pingat emas dengan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 50 pingat emas terutamanya dengan pelaksanaan 31 acara.
“Walaupun dari segi tempat kita tak berani nak kata, tapi kita sasarkan tiga terbaik kerana saya telah maklumkan Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk ambil ruang seluas-luasnya dengan apa yang kita perolehi,” katanya.
Sementara itu dari segi persediaan pula, Khairul Shahril memaklumkan kontijen Perak sudah lama melakukan persediaan rapi melibatkan atlet serta pegawai terlibat.
“Kita memang sudah amat amat bersedia untuk menghadapi Sukma dan saya yakin persiapan yang dibuat sudah melebihi 90 peratus.
“Jadi bila dapat tarikh cadangan baharu pada 29 September adalah satu tarikh yang saya kira saya yakin kerana persiapan kita melebihi negeri lain,” katanya.
Februari lalu, media melaporkan, Perak menggesa agar kesemua 31 acara dalam Sukma edisi ke 20 dikekalkan selepas terdapat makluman ia akan dikurangkan selepas tertangguh hampir empat tahun. – UTUSAN ONLINE










