PETALING JAYA: Malaysia perlu mengambil iktibar daripada rusuhan di Indonesia yang berlaku akibat tekanan kos sara hidup serta persepsi kemewahan elit politik.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, walaupun Indonesia mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh sejak dua dekad lalu, rakyatnya tetap tidak berpuas hati kerana gaji tidak meningkat seiring dengan kenaikan harga barang.
Beliau menjelaskan, Indonesia dalam banyak tahun merekodkan pertumbuhan lebih baik berbanding Malaysia, malah tidak mengalami kemelesetan pada 2009 dan penguncupan semasa Covid-19 juga lebih sederhana.
“Inflasi mereka hampir sama dengan Malaysia, kadar pengangguran lebih rendah dan hutang kerajaan hanya 40 peratus berbanding Malaysia 65 hingga 66 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Namun, jelasnya, angka makro tidak mencukupi jika rakyat merasakan taraf hidup tidak berubah dan jurang dengan golongan elit semakin besar.
“Pertumbuhan ekonomi mesti diterjemahkan kepada kenaikan gaji, pendapatan boleh belanja lebih tinggi dan pekerjaan yang setimpal,” katanya.
Rafizi berkata, inflasi yang terkawal juga tidak bermakna beban rakyat berkurangan sekiranya harga kekal tinggi dan gaji tidak meningkat.
Katanya, Malaysia perlu menumpukan kepada pembaharuan pasaran kerja, mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing serta melaksanakan program kenaikan gaji dan peningkatan kemahiran.
Beliau menegaskan sistem perlindungan sosial dan pengagihan bantuan perlu diperkukuh supaya manfaat pembangunan sampai kepada semua golongan rakyat.
“Paling penting, elit politik tidak boleh mempamerkan kemewahan melampau kerana ia menimbulkan kebencian. Iktibar dari Indonesia jelas, kestabilan hanya wujud apabila hasil pembangunan diagih secara adil,” katanya. – UTUSAN











