TAMPIN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, S. Veerapan membuat laporan polis selepas terdapat individu menggodam akaun aplikasi Telegram miliknya dan kemudian menyamar sebagai diri beliau untuk membuat pinjaman wang.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, membuat laporan di Balai Polis Tampin, petang semalam.
“Kira-kira pukul 3.11 petang semalam, ketika saya berada di sebuah kedai, saya dimaklumkan oleh isteri bahawa akaun Telegram saya telah digodam, kemudian saya membuat semakan dan memang benar akaun itu tidak boleh diakses.
“Kemudian, saya turut menerima banyak panggilan serta mesej dari kenalan yang memberitahu mereka semua telah menerima pesanan mesej daripada seseorang melalui akaun Telegram saya bagi tujuan untuk meminjam wang,” katanya ketika dihubungi.
Veerapan berkata, beliau laporan polis berkenaan bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan selanjutnya. –UTUSAN