BALING: Seorang penjawat awam merupakan antara tujuh lelaki yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan curi kabel milik Telekom Malaysia (TM) dalam empat serbuan berasingan di daerah ini dan Pendang sejak Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kesemua suspek ditahan dalam operasi khas iaitu Op Lejang/Op Kesan/Op Lusuh susulan 14 laporan polis berkaitan jenayah curi kabel TM pada tahun ini.
“Lima suspek berusia antara 20 hingga 41 tahun dicekup di dua lokasi berasingan di kawasan Kuala Ketil di sini pada Sabtu lalu. Salah seorang daripada mereka adalah penjawat awam yang didapati sedang menghisap dadah semasa serbuan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, susulan tangkapan itu, pihaknya melakukan dua lagi serbuan di Merbau Pulas di sini dan satu lagi kawasan di daerah Pendang pada Selasa lalu.
“Dalam dua serbuan tersebut, kita berjaya menahan dua lagi lelaki disyaki rakan subahat dalam jenayah tersebut. Salah seorang daripadanya merupakan pengusaha barang lusuh yang membeli barangan curi iaitu tembaga kabel TM daripada suspek-suspek lain,” katanya.
Beliau berkata, dalam serbuan berkenaan, pihaknya merampas peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah curi kabel seperti topeng muka, playar pemotong wayar, pemotong kabel, gergaji besi, serta sebuah kereta jenis Proton Iswara.
“Modus operandi kumpulan penjenayah ini ialah memotong wayar kabel di bawah tanah sebelum mengikat kabel TM dengan tali sebelum ditarik dengan menggunakan kereta. Kabel yang dicuri akan dibawa ke tepi sungai di kawasan Kuala Lesong di sini untuk proses pembakaran kabel sebelum tembaga dijual pada harga antara RM15 hingga RM18 sekilogram (kg),” katanya.
Tambahnya, berat kabel yang telah diproses setiap kali kegiatan jenayah dilakukan dianggarkan antara 40 kg hingga 70 kg yang mana hasil jualan akan dibahagi sama rata antara mereka.
“Enam suspek didapati mempunyai rekod kesalahan lampau dan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Kesemua suspek kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan, Seksyen 379 dan 411 kanun sama. – UTUSAN