ditipu Stacy

Peniaga kempunan Vellfire ditipu ‘Stacy’ ejen jual kereta

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Selepas empat bulan menunggu, hasrat seorang wanita yang juga peniaga restoran ikan bakar untuk memiliki kereta pelbagai guna (MPV) mewah musnah apabila kerugian RM23,000 akibat terpedaya dengan sindiket penjualan kereta tidak wujud.

Mangsa berusia 41 tahun itu mendakwa melihat iklan di laman sosial Facebook iaitu ‘Right Car Pte Ltd’ tentang penjualan kenderaan jenis Toyota Vellfire ketika berada di kediamannya di Temerloh, dekat sini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa menghubungi nombor telefon suspek yang dikenali sebagai ‘Stacy’ bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kenderaan berkenaan. 

“Stacy yang mengendalikan urusan jual beli itu memaklumkan harga bagi kenderaan jenis Toyota Vellfire berkenaan adalah sekitar RM80,000. 

“Suspek seterusnya meminta mangsa memberikan nombor kad pengenalan dan membayar RM15,000 sebagai wang pendahuluan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini. 

Mohd. Wazir berkata, mangsa kemudiannya menuruti arahan dengan melakukan sebanyak tiga kali pindahan wang ke nombor akaun diberikan suspek pada 22 November tahun lalu berjumlah RM15,000. 

“Sehari selepas itu, mangsa sekali lagi melakukan pindahan wang sebanyak RM8,000 ke akaun diberikan suspek dan menghubungi ‘Stacy’ untuk mendapatkan sekali lagi maklumat lanjut tentang kenderaan dibelinya itu. 

“Bagaimanapun, suspek memberikan pelbagai alasan setiap kali mangsa ingin mengetahui perkembangan urusan jual beli MPV terbabit,” katanya. 

Menurut Mohd. Wazir, mangsa mengesyaki menjadi mangsa penipuan dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam. 

“Kes seperti ini berlaku kerana tawaran harga bagi kenderaan mewah diiklankan kumpulan penipu ini menarik hingga akhirnya memperdayakan orang ramai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan melakukan semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa sebelum melakukan urusan jual-beli kenderaan yang ditawarkan pada harga mencurigakan seperti yang berlaku sekarang ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN