Pengesahan klinik beban pesakit Covid-19 - Utusan Malaysia

Pengesahan klinik beban pesakit Covid-19

Pekerja akan terbeban jika majikan mewajibkan pesakit positif Covid-19 mendapat pengesahan klinik kesihatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan supaya pesakit Covid-19 mendapatkan pengesahan daripada klinik kesihatan bagi mengelak manipulasi terhadap aplikasi MySejahtera tidak wajar kerana ia menyukarkan pekerja yang sepatutnya menjalani kuarantin.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, adalah tidak munasabah bagi individu yang dijangkiti wabak dan sudah melakukan ujian sah mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, diminta pergi ke klinik untuk pengesahan.

“Sedangkan kita sudah mempunyai pelbagai kaedah untuk mengesan jika individu itu positif Covid-19 yang diperkenalkan menerusi aplikasi MySejahtera, kenapa pula kita hendak menyukarkan golongan tersebut hanya untuk mendapatkan pengesahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika memerlukan pengesahan klinik, maka syarikat akan mengarahkan pekerja mereka untuk mendapatkannya daripada klinik panel syarikat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye mencadangkan semua pesakit Covid-19 perlu mendapatkan pengesahan klinik kesihatan dan menentukan tahap kesihatan mereka bagi mengelak manipulasi terhadap MySejahtera.

Katanya, langkah tersebut penting bagi mengelak penipuan dan dalam masa yang sama menentukan sama ada seseorang pekerja itu layak meneruskan kerja sewaktu kuarantin di rumah atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu manipulasi tersebut.

“Pada masa ini penjawat awam amat diperlukan untuk berada di lapangan bagi memastikan semua sistem penyampaian kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan ketika rakyat amat memerlukan perkhidmatan kerajaan bagi memastikan pemulihan ekonomi dapat dilakukan dengan cepat.

“Malah, ketika ini hampir keseluruhan penjawat awam adalah frontliner, bagi tujuan membantu rakyat dan negara ini kembali seperti sedia kala. Maknanya, penjawat awam perlu menjadi pemudah cara bagi tujuan tersebut,” ujarnya.
Justeru itu katanya, penjawat awam perlu melakukan ujian kendiri dan sekiranya positif perlu mendapatkan pengesahan daripada klinik kerajaan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×