MUAR: Ribuan penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong dan Bukit Pasir di sini kesal dengan masalah campur tangan politik hingga menyebabkan beberapa projek perumahan rakyat di kawasan terlibat yang sedang dalam pembinaan terbengkalai.
Dakwa mereka, projek perumahan pelbagai jenis antaranya Program Rumah Transit, Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan Perumahan Generasi Kedua itu sepatutnya siap selepas kerja-kerja membina bermula sejak tiga tahun lalu.
Bagi komuniti Felda di Tanah Rancangan Felda Moakil, Bukit Kepong, Asiah Manas, 60, projek yang sepatutnya menjadi hak kepada generasi kedua dan ketiga tidak sepatutnya tergendala kerana perubahan pentadbiran kerajaan.
“Sebagai generasi pertama memang kita harapkan sebuah rumah untuk generasi kedua. Ia untuk anak kita, kalau anak tak ramai bolehlah mereka ambil rumah peninggalan orang tuanya, tapi kalau lima ke enam anak ia menimbulkan masalah.
“Kalau ada rumah sendiri mereka boleh menetap di sini. Saya mohon siapkanlah projek terbengkalai itu yang sudah lama berjalan tetapi tidak siap-siap,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, seorang lagi peneroka, Husin Pardi, 60, berkata, projek perumahan yang telah dinantikan sejak 10 tahun itu telah pun dibina dan hampir siap sebelum pelaksanaannya terhenti akibat perubahan kerajaan.
“Saya harap kalau boleh mohon dipercepatkan untuk generasi kedua kerana rumah ini sudah lama terbengkalai, lebih kurang 10 tahun. Sekarang pun dah banyak dibina cuma tinggal laluan dan sumber air,” katanya.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Bukit Kepong, Ismail Mohamed berkata, hampir 5,000 unit rumah di sekitar Parlimen Pagoh yang masih dalam pembinaan serta bakal dibina terpaksa dihentikan selepas bertukar tampuk pimpinan kerajaan.
Kata beliau, meskipun mempunyai wakil rakyat yang pernah bergelar Menteri Besar dan Perdana Menteri sebelum ini, kawasan itu sepatutnya memberikan imbuhan baik buat penduduk kampung khususnya dalam merealisasikan impian mereka memiliki kediaman selesa.
“Rakyat Pagoh perlukan kediaman, kebanyakan penduduk bekerja kampung dan tidak ada slip gaji, maka kelayakan membeli rumah sukar. Ketika saya jadi wakil rakyat di Bukit Kepong yang dahulunya dikenali Bukit Serampang, saya cuba selesaikan masalah ini dengan melaksanakan projek perumahan rakyat pelbagai kategori.
“Namun, saya kesal kerana apabila kerajaan terdahulu mentadbir negeri, segala projek yang masih dalam pembinaan serta bakal dibina tergendala. Walhal, kertas kerja dan segala kajian pelaksanaan telah siap dilakukan, hanya tinggal kerja pembinaan sahaja, namun itu semua tidak diteruskan,” katanya.
Tambah Ismail, sekali pun tidak mahu menjayakan projek yang dijayakan di bawah kerajaan BN dahulu, sekurang-kurangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih perlu memikirkan kebajikan penduduk. – UTUSAN