MUAR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan membantu pengusaha nanas di negara ini untuk meningkatkan purata pendapatan mereka sehingga RM8,000 sebulan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sebanyak RM137 juta diperuntukkan bagi menjayakan tujuh skop program pembangunan meliputi bantuan kepada pekebun kecil serta usahawan industri hiliran nanas.
“Sektor industri nanas negara diunjurkan terus berkembang sebanyak lima peratus setahun dengan eksport nanas negara telah mengalami peningkatan ketara iaitu sebanyak RM641 juta pada tahun 2020 berbanding RM138 juta pada tahun 2016.
“Ia selaras dengan halatuju LPNM memperkasakan pembangunan industri nanas negara serta meningkatkan purata pendapatan pengusaha daripada RM5,000 sebulan kepada RM8,000 sebulan dalam tempoh RMK-12,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jelajah Dialog Industri Makanan 2022 (DIA2022) Pagoh, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi LPNM, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.
Menurut Ronald, menjelang 2025, LPNM menyasarkan untuk meningkatkan kawasan tanaman kepada 20,000 hektar berbanding 17,000 hektar pada tahun 2020.
“LPNM akan meningkatkan kadar peratusan tanaman jenis varieti MD2 daripada 15 peratus ketika ini kepada 50 peratus dalam sasaran keluasan ini bagi menampung permintaan tinggi terhadap pasaran domestik serta eksport.
“Melihat kepada keseluruhan industri nanas negara, Johor merupakan negeri yang mempunyai keluasan penanaman terbesar dan lestari di Malaysia. Pada tahun 2020, negeri ini mencatatkan keluasan penanaman seluas 10,253 hektar iaitu 61 peratus daripada keseluruhan keluasan penanaman nanas negara,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu MAFI telah memperuntukkan lebih RM900 juta sejak dua tahun lalu bagi membantu pemain-pemain industri khususnya sektor agro makanan kekal bertahan ketika berdepan cabaran pandemik Covid-19.
Katanya, peruntukan tersebut diberikan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Dana Jaminan Makanan (DJM). – UTUSAN