IPOH: Pembangkang tidak berpuas hati dengan cara kerajaan negeri menjawab isu Movie Animation Park Studios (MAPS) di Meru dekat sini yang ditutup sejak lebih setahun lalu akibat masalah kewangan.
Ketua Pembangkang, Dr. Abdul Aziz Bari (PH-Tebing Tinggi) berkata, apa yang membimbangkan ialah telah berlaku beberapa perkara yang semacam dirancang untuk menenggelamkan isu MAPS ini.
Menurutnya, ini termasuk proses menggulung atau winding up Perak Development Corp. anak syarikat Perak Corp. yang memiliki MAPS.
“Salah satu fungsi dewan perundangan baik Parlimen atau dewan negeri ialah menguatkuasakan pertanggungjawaban (accountability). Ini disebut dengan jelas oleh Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
“Sebab itu kita mengulangi pendirian bahawa kita tidak bersetuju dengan respon pentadbiran yang ada sekarang kepada isu MAPS yang dibangkitkan dalam beberapa sidang dewan ini sebelum ini.
“Telah ada yang menyebut bahawa apa yang berlaku terhadap MAPS boleh disifatkan sebagai skandal 1MDB versi Perak. Ada yang menganggarkan bahawa skandal ini telah mencecah angka RM700 juta dan apabila gajah putih atau bangkai gajah itu hendak dilelong pada harga RM60 juta, tiada siapa pun yang menunjukkan minat.
“Apa yang membimbangkan ialah telah berlaku beberapa perkara yang semacam dirancang untuk menenggelamkan isu MAPS ini, termasuk proses menggulung (winding up) Perak Development Corp. anak syarikat Perak Corp. yang memiliki MAPS ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan pada Sidang DUN Perak di sini hari ini.
Abdul Aziz bimbang jika isu MAPS tidak disiasat secara telus, tidak mustahil ada syarikat milik kerajaan (GLC) yang akan bertukar tangan kepada pemiutang atau creditors, khususnya GLC yang selama ini memberi keuntungan kepada kerajaan negeri.
Menurutnya, siasatan menyeluruh perlu supaya gerak kerja untuk menyembunyikan dan melarikan aset dan lain-lain dapat dihentikan dan siasatan juga perlu untuk kita menyedari kelemahan yang ada dalam pentadbiran korporat yang ada.
Beliau berkata, kesan besar skandal itu terhadap ekonomi negeri ialah betapa ia memaparkan hakikat tidak wujudnya ketelusan dan pertanggungjawaban yang sekaligus akan meletakkan negeri ini dalam kategori negeri yang tidak mesra perniagaan.
“Kita telah lihat betapa kesan ini telah menghambat kemajuan dan pembangunan. Jika ini tidak ditangani, bagaimana kita hendak mengeluarkan Perak dari kategori empat negeri termiskin dalam persekutuan?
“Fenomena itu juga turut menunjukkan betapa Dewan yang mulia ini dipinggirkan dan tidak dibenarkan berfungsi.
“Sebagai dewan yang bebas dan berautonomi dari kawalan eksekutif adalah malang sekiranya ini berlaku. Dewan, selain membuat undang-undang, turut mempastikan wujud dan berfungsinya proses pertanggungjawaban,” katanya. – UTUSAN ONLINE










