SHAH ALAM: Pemandu e-hailing digesa mencarum sendiri dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai perlindungan kepada diri mereka sendiri, walaupun bekerja secara tidak formal dalam sektor tersebut.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Pekerja Industri e-Hailing Malaysia, Jose Rizal berkata, risiko bagi pekerja industri terbabit terlibat dalam kemalangan jalan raya adalah tinggi memandangkan kebanyakan masa mereka di atas jalan raya.
“Sekiranya berlaku kemalangan, mereka boleh membuat tuntutan skim keselamatan daripada Perkeso sekiranya membuat caruman. Sekiranya mereka meninggal dunia, pertubuhan terbabit akan memberikan saguhati kepada keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau memahami situasi yang dihadapi pemandu e-hailing yang pendapatan mereka tidak menentu, namun Jose mengatakan caruman tersebut memberi manfaat pada masa akan datang.
Malah, katanya, skim yang ditawarkan oleh pertubuhan tersebut, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada pekerja e-hailing dan p-hailing disifatkannya sebagai berpatutan kepada dua golongan itu.
“Untuk tahun ini, kerajaan memberi subsidi sebanyak 80 peratus kepada setiap individu yang mencarum SKSPS. Maksudnya, 20 peratus sahaja yang pencarum harus keluarkan duit, iaitu berjumlah RM3.90 sebulan.
“Ini sangat berpatutan untuk mereka dan kami menyeru kepada pemandu e-hailing supaya tidak melepaskan peluang ini untuk mendapatkan skim perlindungan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN