BALING: Pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Muhammad Saiful Ezzudin Mustaffa yang ditemukan lemas di Sungai Limau di sini, kelmarin tidak sempat menyambut hari kelahirannya ke-14 tahun, semalam.
Ibunya, Sadariah Mohd. Hassan, 48, berkata, kebiasaannya anak bongsu daripada empat beradik itu menyambut hari kelahirannya bersama dengan rakan-rakannya di AMD, Gambang, Pahang.
Menurutnya, kakak Muhammad Saiful Ezzudin, Nor Aina Shafina, 18, dan Nur Iliana Safina, 14, pula menguruskan penghantaran hadiah kepada adik mereka itu.
“Sepatutnya hari ini (semalam) adalah hari kelahirannya (Muhammad Saiful Ezzudin), tapi kami tidak sempat meraikannya bersama-sama, dia pergi lebih awal.
“Walaupun sedih kehilangan anak bongsu kesayangan, namun kami reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Temu, Batu 48 di sini, semalam.

Mayat Muhammad Saiful Ezzuddin Mustafa dijumpai di dalam paip penyedut pasir sungai kira-kira pukul 5.46 petang kelmarin.
Mangsa dilaporkan lemas selepas mandi di Sungai Ketil berhampiran Kampung Teluk Sungai Durian bersama beberapa rakannya pada pukul 1 petang Rabu lalu.
Sadariah memberitahu, anak lelakinya itu pulang di kampung ketika cuti semester pada 19 Mac lalu dan dijangka pulang ke AMD pada Ahad ini.
“Saya tidak menyangka kepulangannya pada kali ini adalah kepulangan terakhir apabila ditemukan lemas ketika mandi di sungai bersama rakan-rakannya,” ujarnya.
Bagaimanapun, menurutnya, anaknya yang pendiam dan suka senyum serta ringan tulang apabila diminta melakukan sesuatu kerja didapati tidak menunjukkan perubahan ketara sejak pulang ke rumah pada 19 Mac lalu.
Menurutnya, anaknya itu baru menamatkan latihan di Kuala Lumpur dan di beberapa tempat lagi sebelum pulang ke kampung serta menjadi harapan keluarganya untuk terus berjaya dan cemerlang dalam sukan bola sepak. – UTUSAN