Pelajar Malaysia di Rusia berdepan masalah transaksi bank - Utusan Malaysia

Pelajar Malaysia di Rusia berdepan masalah transaksi bank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelajar Malaysia di Rusia berdepan masalah transaksi perbankan dan kewangan susulan sekatan yang dikenakan ke atas negara itu sejak pencerobohan terhadap Ukraine minggu lalu.

Ketika ini, terdapat 861 rakyat Malaysia di Rusia, terdiri daripada 784 pelajar dan 33 ekspatriat, termasuk mempunyai 44 petugas kedutaan iaitu kakitangan diplomatik dan teknikal serta tanggungan mereka.

Kementerian Luar berkata, masalah itu berkaitan perbankan dan transaksi kewangan dari Malaysia ke beberapa akaun bank pelajar di Rusia berikutan gangguan perkhidmatan Pemindahan Dana Elektronik (EFT).

Oleh itu, Wisma Putra menggesa mana-mana individu yang berdepan masalah tersebut untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Moscow.

“Pelajar Malaysia yang masih menghadapi gangguan EFT atau memerlukan bantuan konsular perlu menghubungi kedutaan melalui e-mel khusus [email protected] dan talian hotline (+79067461333/ +79651222746/ +79035666101/ +79035048666).

“Kementerian juga menasihatkan semua rakyat Malaysia di Rusia yang masih belum mendaftar dengan kedutaan untuk berdaftar secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Wisma Putra menafikan masih ada rakyat Malaysia yang terperangkap di Ukraine.

“Mengenai klip video berdurasi 45 saat yang didakwa disiarkan sekumpulan pelajar Malaysia yang terperangkap di satu kawasan di Ukraine, kementerian memaklumkan siasatan yang dilakukan setakat ini mendapati video itu bukan milik kumpulan berkenaan.

“Bagaimanapun, mana-mana warga Malaysia yang masih berada di Ukraine dan memerlukan bantuan konsular perlu menghubungi Kedutaan Malaysia di Warsaw, Poland melalui e-mel Kedutaan [email protected] dan talian hotline +48223759930/ +48226174413 dan talian 24 jam +48660627360.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan terkini dan berhubung rapat dengan rakyat Malaysia yang berdaftar bagi memastikan kesejahteraan rakyat kita dijaga dengan baik,” katanya.

Wisma Putra juga boleh dihubungi untuk bantuan konsular melalui e-mel ([email protected], dan [email protected]) dan/atau nombor telefon (+603 8887 4530/ (+603 8887 4676) semasa waktu pejabat dan (+603 8887 4570) selepas waktu pejabat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN