KOTA KINABALU: Sebanyak 88 kompaun atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Pejabat Kesihatan Kawasan Daerah menerusi pemantauan berkala dan operasi bersepadu yang diadakan sejak awal tahun ini.
Pegawai Kesihatan Kawasan Daerah, Dr. Suhaila Osman berkata, hari ini sahaja 14 kompaun dikeluarkan menerusi Operasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP Bersepadu yang dilakukan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, daripada 1,500 individu dan 500 premis yang diperiksa dalam operasi bersepadu itu, 10 kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 iaitu gagal mengimbas aplikasi MySejahtera semasa masuk ke dalam premis.
Empat kompaun lagi dikeluarkan di bawah Peraturan-peratuan Hasil Kawalan Tembakau (PPKHT) 2004 iaitu menjual rokok di bawah harga minimun, gagal mempamerkan tanda larangan merokok dalam premis serta merokok di kawasan larangan (premis makanan).
Sebelum ini, sebanyak 74 kompaun dikeluarkan termasuk 51 kompaun di bawah APPPB 1988; 14 kompaun di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009; lima kompaun di bawah PPKHT 2004 dan empat kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.
Dr. Suhaila yang juga Pakar Perubatan Kesihatan Awam daerah berkata, operasi bersepadu yang dijalankan hari ini membabitkan enam pasukan yang dianggotai seramai 50 orang kakitangan agensi penguat kuasa pelbagai agensi.
Berdasarkan pemeriksaan, terdapat juga premis makanan yang tidak mematuhi PPKM 2009 dan sudah diberikan teguran agar pemilik membersihkan bahagian dapur premis. Lawatan susulan akan dilakukan untuk pemeriksaan terperinci dalam tempoh seminggu lagi.
“Sekiranya pemilik masih gagal membersihkan bahagian dapur, tindakan undang-undang akan diambil dengan menutup premis.
“Berdasarkan pemeriksaan, ada kompaun dikeluarkan berkaitan pelanggaran PPKHT 2004 dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) iaitu kegagalan pekerja dan pengunjung mengimbas aplikasi MySejahtera semasa memasuki premis,” katanya dalam sidang akhbar selepas Operasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP Bersepadu di Jalan Gaya hari ini.
Mengulas lanjut katanya, secara keseluruhan, pematuhan SOP warga bandar raya ini amat baik dan ramai yang mempunyai kesedaran kendiri dengan mematuhi pemakaian pelitup muka, mengimbas MySejahtera dan mematuhi penjarakan fizikal semasa berada dalam premis.
Jelas beliau, itu sebabnya pemantauan secara berkala penting bagi mengingatkan masyarakat agar tidak leka dengan SOP yang perlu dipatuhi.
Tambah beliau, sepanjang tahun lalu, PKK Kota Kinabalu mengeluarkan sebanyak 2,355 kompaun bagi pelbagai kesalahan, dengan 2,053 kompaun di bawah APPPB 1988, sebanyak 160 kompaun di bawah APSPP 1975, 116 kompaun di bawah PPHT 2004 serta 26 kompaun di bawah PPKM 2009. – UTUSAN