PATI Myanmar tunggu masa masuk Malaysia - Utusan Malaysia

PATI Myanmar tunggu masa masuk Malaysia

MAT Shukor Yusof (kanan) menunjukkan gambar-gambar PATI Myanmar yang berjaya ditahan pihaknya kepada pemberita di Markas Taktikal Lubok Stol, Rantau Panjang, Kelantan hari ini. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa menjangkakan peningkatan jumlah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ke negara ini dalam masa terdekat.

Difahamkan, sindiket yang menguruskan mereka sudah tidak sanggup untuk ‘menyimpan’ PATI Myanmar itu sejak sekian lama di Thailand dan mahu segera memindahkan mereka ke negara ini melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

Pegawai Pemerintah Batalion 8, Superintenden Mat Shukor Yusof berkata, berdasarkan maklumat risikan diterima pihaknya, kumpulan itu sedang ‘berkampung’ di Thailand dan menunggu masa sesuai untuk masuk ke Malaysia.

“Saya akui pergerakan masuk PATI Myanmar selepas banjir agak kerap. Terbaharu, pada 16 Mac lalu PGA menahan 11 lelaki dan dua wanita yang merupakan warga Myanmar di kawasan semak di Kampung Bakong.

“Untuk makluman sejak Batalion 8 PGA melaksanakan tugas Op Wawasan Kelantan pada 16 Februari hingga semalam, seramai 59 warga Myanmar sudah ditahan termasuk seorang kanak-kanak,” katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol, di sini hari ini.

Mat Shukor memberitahu, kesemua PATI Myanmar yang dibawa masuk itu dipercayai akan dihantar untuk bekerja di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Katanya, kebanyakan mereka merupakan buruh dalam sektor pembinaan perumahan, ladang selain untuk premis perniagaan di pasar-pasar borong.

“PGA akan terus memperketatkan lagi kawalan sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Pengkalan Kubor di Tumpat sehingga ke Rantau Panjang dalam memastikan jenayah rentas sempadan ini dikekang,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Mat Shukor berkata, sepanjang tempoh penugasan pihaknya menerusi Op Wawasan Kelantan, pelbagai barangan berkait aktiviti penyeludupan berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan mencecah RM3.05 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN