KUALA LUMPUR: Sektor perladangan antara yang terkesan akibat kekurangan tenaga kerja sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM20 bilion pada tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kerugian berkenaan akibat kekurangan pekerja ekoran pandemik Covid-19.
Sehubungan itu, kata beliau, kementeriannya membuka pendaftaran dan menentukan kuota bagi membawa masuk pekerja asing pada hujung bulan ini bagi memenuhi keperluan sektor perladangan.
“Dalam sektor perladangan, paling terkesan adalah kelapa sawit yang bergantung kepada tenaga buruh asing.
“Jadi sedang membuka pendaftaran dan menentukan kuota bagi membawa masuk pekerja asing hujung bulan ini,” katanya di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd. Salim Sharif (BN-Jempol).
Menurut Saravanan, pihaknya telah memberi peluang hampir setahun kepada warga tempatan untuk mengisi kekosongan dalam sektor berkenaan namun, tiada yang menunjukkan minat.
“Rakyat tempatan tidak tunjuk minat (dalam sektor perladangan) walaupun hampir setahun kita cari dan beri peluang sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) yang ingin tahu tentang dasar baharu kerajaan berhubung latihan dan pembangunan, beliau berkata, kerajaan memberi penekanan kepada aspek latihan dan program pembangunan tenaga kerja bagi menampung keperluan industri serta keperluan masa hadapan.
“Belanjawan 2022 telah diperuntukkan Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ bagi mendukung matlamat menurunkan kadar pengangguran melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion,” katanya. – UTUSAN