KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dicadangkan supaya melaksanakan dasar baharu supaya semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini tidak mengadakan peperiksaan pada hari Jumaat dan hujung minggu.
Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (PH-UPKO) berkata, cadangan tersebut mengambil kira faktor hari-hari berkenaan menuntut semua rakyat di negara ini hadir untuk menjalankan aktiviti keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing.
Justeru, jika peperiksaan universiti tetap dijalankan pada hari tersebut, ada pihak terlibat yang tidak boleh menduduki peperiksaan.
“Saya masih menerima aduan daripada mereka dari segi kepatuhan pada Tuhan. Dia (penuntut universiti) tidak boleh hadir peperiksaan pada hari Sabtu, Ahad malah hari Jumaat pun.
“Jadi, saya cadangkan supaya kita (kerajaan) mengadakan dasar bahawa pada hari-hari disebutkan supaya tiada peperiksaan kerana hari Isnin hingga Khamis masih ada masa yang panjang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau mencadangkan dasar itu semasa Kementerian Pengajian Tinggi menggulung perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Membalas saranan itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pihaknya mengambil maklum hal itu dan telah berunding dengan Ketua Pengarah dan pihak universiti untuk perbincangan lebih lanjut.
“Kerajaan menyambung baik cadangan Yang Berhormat, tetapi, sistem peperiksaan di IPT ini tidak berpusat sebagaimana peperiksaan awam di sekolah seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kerana semua universiti mempunyai takwim akademik berbeza.
“Pihak kementerian membenarkan IPT melalui senat, mereka boleh merancang dan melaksanakan peperiksaan masing-masing mengikut kesesuaian. Tetapi, saya faham dan maklum mengenai cadangan Yang Berhormat dan saya telah meminta Ketua Pengarah berbincang secara terperinci bersama universiti,” katanya. – UTUSAN










