KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bekalan ayam dan telur berada dalam keadaan stabil serta mencukupi menjelang sambutan Ramadan awal bulan depan.
Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah memaklumkan, purata keperluan ayam dalam negara adalah sebanyak 2.09 juta ekor yang bersamaan dengan 3,762 metrik tan sehari atau 62.9 juta ekor yang bersamaan dengan 113,220 metrik tan sebulan.
“Trend pengeluaran ayam menurun berlaku sejak Oktober tahun lalu apabila ekonomi dibuka. Ketika itulah keperluan terus mendadak, jadi nak menyediakan seperti apa yang diperlukan mengambil masa panjang.
“Namun, untuk bulan Ramdan kita menjangkakan bekalan mencukupi dan stabil. Kerajaan mengambil satu pendekatan iaitu membenarkan import ayam bulat dari luar negara sebanyak 10,000 metrik tan tapi malangnya setakat ini, kita hanya berkeupayaan untuk mendapat 4,500 metrik tan ,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) berhubung jaminan kerajaan bagi memastikan bekalan ayam dan telur mencukupi pada bulan Ramadan dan Aidilftri dengan harga terkawal.
Pada masa sama, katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) melaporkan sebanyak 52.05 juta ekor ayam yang dihasilkan pada Oktober 2021 menurun kepada 51.4 juta ekor pada bulan November 2021.
Bagi pengeluaran ayam pada Disember 2021 adalah sebanyak 61.1 juta ekor berbanding 62.9 juta ekor mengikut keperluan sebenar.
“Ini menunjukkan terdapat kekurangan bekalan di pasaran. Antara faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya penurunan bekalan ayam tersebut adalah pengurangan pengeluaran bagi mengelakkan kerugian berikutan peningkatan kos operasi.
“Selain itu, antara faktor lain adalah peningkatan permintaan yang mendadak berikutan pembukaan semula sektor ekonomi, pengurangan kemasukan anak ayam dan bencana banjir,” katanya.
Justeru, Ahmad berkata, kerajaan merancang dua pelan yang meliputi jangka pendek dan panjang.
“Pertama, memberi kebenaran mengimport iaitu AP kepada 36 buah syarikat untuk mengimport ayam sebanyak 36,030 tan metrik bagi tempoh Disember 2021 hingga Mei 2022 tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan.
“Kedua, memberi subsidi sebanyak RM0.60/kg pada harga borong ayam hidup di ladang dan RM0.05/biji bagi telur gred A, B dan C bermula dari 5 Februari hingga 5 Jun 2022. Usaha ini dijangka memberi manfaat kepada 2,061 penternak ayam pedaging dan 194 penternak ayam penelur,” katanya.

Tambahnya, rakyat dapat menikmati harga ayam bulat lebih rendah iaitu RM8.90/kg dan harga telur antara RM0.39 hingga RM0.43 sebiji mengikut gred.
“Jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan ialah sebanyak RM528.52 juta. Permohonan subsidi telah dibuka mulai 28 Februari sehingga 6 Jun 2022 melalui DVS Negeri,” katanya.
Bagi pelan jangka panjang, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengurangkan kebergantungan kepada sumber jagung import sebanyak 30 peratus.
“Ini menerusi inisiatif penanaman jagung bijian dalam negara yang berkeluasan sehingga 80,000 hektar dengan sasaran pengeluaran jagung bijian tempatan sebanyak 1.44 juta tan metrik menjelang 2033.
“Kedua, menjalankan kajian bagi menghasilkan bahan mentah gantian dari sumber tempatan berasaskan isirung sawit dan ketiga, menawarkan pinjaman mudah sebanyak RM200 juta kepada penternak melalui Agrobank bagi membantu penternak mengatasi masalah modal pusingan kewangan yang terjejas akibat kenaikan kos pengeluaran,” katanya. – UTUSAN