KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menegur sikap ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang yang cuba ‘berpolitik’ ketika persidangan Dewan Rakyat.
“Saya ingin menyeru kepada Yang Berhormat semua, kalau boleh kurangkan sikit politik di dalam Dewan. Kita tumpukan isu rakyat, maksud saya janganlah berkempen di Dewan Rakyat,” kata Azhar.
Teguran itu dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat selepas Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) membangkitkan mengenai peruntukan PRN Johor sebanyak RM150 juta.
Akmal Nasrullah berkata, peruntukan itu adalah lebih baik digunakan untuk membantu penternak ayam bagi menstabilkan harga ayam ketika ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata demikian ketika soalan tambahan mengenai harga ayam kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid ketika sesi soal jawab.
“Isu ayam harga ayam puncanya kerana kos, sekarang ini kerajaan bagi subsidi 60 sen untuk stabilkan harga ayam. Setujukah Timbalan Menteri, daripada kita belanja RM150 juta untuk PRN Johor lebih baik bantu stabilkan harga sebab rakyat tengah susah sekarang ini, bukan stabilkan politik,” katanya. – UTUSAN