KUALA NERUS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau harga makanan terutama berasaskan ayam dan telur ayam pada bulan Ramadan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pemantauan akan dilakukan di semua premis perniagaan termasuk bazar Ramadan di seluruh negara sepanjang bulan tersebut bagi mengelak hari melambung tinggi.
“Ramai meramalkan harga makanan berasaskan ayam akan naik pada bulan Ramadan ini atas faktor kos bahan mentah, logistik dan tukaran wang asing.
“Apa pun saya mengingatkan golongan peniaga agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti pencatutan,” katanya kepada pemberita selepas memantau pelaksanaan Program Penyeragaman Harga di Pulau Redang hari ini.
Rosol berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang terlibat dalam aktiviti pencatutan sekali gus menasihatkan pengguna agar membuat aduan jika dikenakan harga tidak munasabah
Dalam pada itu, katanya, masalah bekalan bahan makanan tidak sepatutnya berlaku sepanjang Ramadan berikutan jaminan yang diberikan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) sebelum ini. – UTUSAN










